[1] Pujilah Tuhan! Pujilah nama Tuhan; pujilah Dia, hai kamu hamba-hamba Tuhan,
[2] kamu yang berdiri di Rumah Tuhan, di balai-balai Rumah Allah kita.
[3] Pujilah Tuhan, kerana kebaikan-Nya; nyanyikan pujian untuk nama-Nya, kerana sungguh menyenangkan.
[4] Kerana Tuhan telah memilih Yakub untuk diri-Nya, Israel untuk kesayangan-Nya yang istimewa.
[5] Kerana aku tahu bahawa Tuhan Maha Besar, dan Tuhan kita di atas semua tuhan.
[6] Apa sahaja yang Tuhan berkenan, dilakukan-Nya, di syurga dan di bumi, di lautan dan di semua tempat yang dalam.
[7] Dia membuat wap naik dari semua pelosok bumi; Dia menghantar kilat bersama hujan; Dia mengeluarkan angin daripada perbendaharaan-Nya.
[8] Dia memusnahkan anak sulung Mesir, baik manusia mahupun binatang.
[9] Dia menghantar tanda dan keajaiban ke kalanganmu, hai Mesir, kepada Firaun dan semua hambanya.
[10] Dia mengalahkan banyak bangsa dan membunuh raja-raja perkasa –
[11] Sihon raja bangsa Amori, Og raja Basan dan semua kerajaan di Kanaan –
[12] lalu memberikan tanah mereka sebagai warisan pusaka, warisan pusaka kepada umat-Nya Israel.
[13] Nama-Mu, ya Tuhan, kekal selama-lamanya, kemasyhuran-Mu, ya Tuhan, turun-temurun zaman-berzaman.
[14] Kerana Tuhan akan menghakimi umat-Nya dan Dia akan berbelas kasih ke atas hamba-hamba-Nya.
[15] Berhala bangsa-bangsa diperbuat daripada perak dan emas, hasil pertukangan tangan manusia.
[16] Ia ada mulut, tetapi tidak berkata-kata, ada mata tetapi tidak melihat;
[17] ia ada telinga, tetapi tidak mendengar, dan tiada nafas di mulutnya.
[18] Orang yang membuatnya serupalah dengannya, demikian juga setiap orang yang menyandarkan kepercayaan kepadanya.
[19] Pujilah Tuhan, hai keturunan kaum Israel; Pujilah Tuhan, hai keturunan kaum Harun;
[20] Pujilah Tuhan, hai keturunan kaum Lewi; kamu yang takut akan Tuhan, pujilah Tuhan.
[21] Pujilah Tuhan dari Sion, yang tinggal di Yerusalem. Pujilah Tuhan!