[1] Aku akan memuji-Mu, Ya Tuhan, kerana Engkau telah menyelamatkan aku dan tidak membiarkan seteruku bergembira menumpaskan aku.
[2] Ya Tuhan, ya Allahku, aku telah berseru kepada-Mu lalu Engkau menyembuhkan aku.
[3] Ya Tuhan, Engkau telah membawa nyawaku keluar dari kubur; Engkau telah melanjutkan usiaku supaya aku tidak masuk ke lubang maut.
[4] Nyanyikanlah puji-pujian kepada Tuhan, wahai umat-Nya yang warak; dan bersyukurlah mengingati nama-Nya yang suci.
[5] Kerana kemurkaan-Nya cuma sebentar, keredaan-Nya sepanjang kehidupan kekal; tangisan mungkin berlangsung semalaman, tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi.
[6] Ketika aku berjaya aku berkata, "Aku tidak akan goyah."
[7] Tuhan, dengan keredaan-Mu, Engkau mengukuhkan gunungku; dahulu ketika Engkau menyembunyikan wajah-Mu, aku berasa bimbang.
[8] Aku telah berseru kepada-Mu, ya Tuhan; dan kepada-Mu aku telah merayu:
[9] "Apakah gunanya jika darahku tertumpah, dan aku masuk ke kubur? Adakah debu akan memuji-Mu? dan mengisytiharkan kesetiaan-Mu?
[10] Dengarlah, ya Tuhan, dan kasihanilah aku; Ya Tuhan, tolonglah aku."
[11] Engkau telah mengubah kesedihanku menjadi tarian riang; Engkau telah melucutkan kedukaanku dan meliputiku dengan keriaan,
[12] supaya aku menyanyikan puji-pujian untuk-Mu sepanjang masa. Ya Tuhan, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.