[1] Aku akan memuji Tuhan setiap waktu; puji-pujian untuk-Nya akan sentiasa di bibirku.
[2] Jiwaku akan mengisytiharkan kebesaran Tuhan; rakyat yang menderita akan mendengar dan bersukacita.
[3] Pujilah kebesaran Tuhan bersamaku; marilah kita memuliakan nama-Nya bersama-sama.
[4] Aku telah berseru kepada Tuhan, dan Dia mendengar seruanku; lalu Dia menyelamatkanku daripada semua yang kutakuti.
[5] Orang yang dalam kesusahan bermohon kepada-Nya; maka wajah mereka berseri-seri dan tidak menanggung malu.
[6] Orang malang berseru merayu, dan Tuhan mendengar rayuannya; lalu menyelamatkannya daripada segala kesusahannya.
[7] Para malaikat Tuhan berjaga sekeliling orang yang takut kepada-Nya, dan menyelamatkan mereka.
[8] Rasakan dan lihatlah kebaikan Tuhan; diberkatilah orang yang berlindung kepada-Nya.
[9] Takutilah Tuhan, wahai umat-Nya yang salih, mereka yang takut kepada-Nya tidak kekurangan apa-apa.
[10] Anak-anak singa menjadi lemah dan lapar, tetapi mereka yang berpaling kepada Tuhan tidak akan kekurangan sesuatu yang baik.
[11] Marilah anak-anak, dengar kata-kataku; aku akan mengajarmu takut akan Tuhan.
[12] Siapa yang sayangkan hidup dan inginkan panjang umur,
[13] jagalah lidahmu daripada kejahatan dan bibirmu daripada kata-kata palsu.
[14] Tinggalkan kejahatan dan lakukan kebaikan; cari dan burulah kedamaian.
[15] Kerana mata Tuhan tertuju kepada orang yang benar dan telinga-Nya mendengar rayuan mereka;
[16] Tetapi wajah Tuhan menentang mereka yang berbuat jahat, sehingga ingatan tentang mereka luput dari bumi.
[17] Orang yang benar berseru merayu, dan Tuhan mendengar; lalu menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan mereka.
[18] Tuhan merapati orang yang patah hati dan menyelamatkan orang yang menyesal.
[19] Orang yang benar banyak ditimpa penderitaan, tetapi Tuhan menyelamatkannya daripada segala-galanya;
[20] Tuhan menjaga setiap tulangnya, satu pun tidak patah.
[21] Orang zalim akan dibunuh oleh kejahatan; dan mereka yang membenci orang benar akan dihukum.
[22] Tuhan menebus roh hamba-Nya; tiada seorang pun yang berlindung kepada-Nya akan dihukum.