[1] Ya Allah, Engkau telah menyingkiri kami, Engkau telah membiarkan kami tewas; Engkau telah murka – terimalah kami semula!
[2] Engkau telah membuat bumi bergegar, Engkau telah membuatnya pecah-belah; pulihkanlah semula, kerana bumi sedang gementar.
[3] Engkau telah menimpakan kesengsaraan ke atas umat-Mu; Engkau telah memberi kami minum anggur kekeliruan.
[4] Engkau telah mengurniakan panji-panji kepada orang yang takut kepada-Mu, untuk dikibarkan kerana kebenaran. Sela
[5] Supaya orang yang Kaukasihi dapat diselamatkan, lepaskanlah dengan tangan kanan-Mu dan dengarlah rayuanku.
[6] Allah telah berfirman dalam kesucian-Nya: "Aku akan bergembira, Aku akan membahagikan tanah Sikhem dan mengukur serta mengagihkan Lembah Sukot.
[7] Gilead milik-Ku, Manasye milik-Ku; Efraim juga topi besi-Ku, Yehuda tongkat kerajaan-Ku.
[8] Moab tempat pembasuhan-Ku, ke atas Edom akan Kulemparkan kasut-Ku; ke atas Filistea Aku akan menang."
[9] Siapa akan membawaku ke dalam kota perkasa itu? Siapa akan memimpinku ke Edom?
[10] Bukankah Engkau, ya Allah, yang menyingkiri kami dan Engkau, ya Allah, yang tidak menyertai tentera kami?
[11] Berilah kami pertolongan daripada kesusahan, kerana pertolongan daripada manusia tidak berguna.
[12] Melalui Allah, kita akan berjuang berani, kerana Dialah yang akan menumpaskan musuh kita.