Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:15

[1] Aku mengasihi-Mu, ya Tuhan, Engkaulah kekuatanku.

[2] Tuhan ialah batu pejalku, kubuku dan penyelamatku; Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku.

[3] Aku berseru kepada Tuhan yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku.

[4] Seksa maut telah mengepungku; curahan banjir kebinasaan mengerikanku.

[5] Seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku.

[6] Dalam kesesakanku aku berseru kepada Tuhan; Aku meraung kepada Allahku. Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya; raunganku sampai kepada pendengaran-Nya.

[7] Maka bumi pun gempa dan gementar, tapak bukit-bukau bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka.

[8] Asap naik dari hidung-Nya, dan api daripada mulut-Nya menghanguskan, dan bara menyala keluar daripada-Nya.

[9] Dia menekuk langit lalu turun, kelam pekat ada di bawah kaki-Nya.

[10] Dia terbang mengenderai malaikat kerubin; Dia melayang di sayap angin.

[11] Dia menjadikan kegelapan di lelangit di sekeliling-Nya: diselubungi timbunan air kelam dan awan tebal di udara.

[12] Daripada cahaya di hadapan-Nya awan tebal berlalu, dengan hujan batu dan arang yang menyala.

[13] Tuhan mengguntur dari langit; Yang Maha Tinggi memperdengarkan panah suara-Nya.

[14] Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga musuh bertempiaran, Dia memancarkan kilat sabung-menyabung lalu menumpaskan mereka.

[15] Maka saluran di dasar lautan terserlah dan asas bumi terdedah akibat kemurkaan-Mu, Ya Tuhan, dan hembusan hebat nafas-Mu.

[16] Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit, Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan.

[17] Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat, daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku.

[18] Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan, tetapi Tuhan menolongku.

[19] Dia membawaku ke tempat yang luas; Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku.

[20] Tuhan memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar; Dia menggantikan deritaku dengan rahmat kerana tanganku bersih daripada dosa.

[21] Kerana aku telah mengikut jalan Tuhan; dan tidak menyeleweng daripada Allahku dengan melakukan kejahatan.

[22] Segala hukum-Nya ada di hadapanku sebagai panduan; dan aku tidak mengetepikan ketetapan-Nya.

[23] Di hadirat-Nya aku tidak bercela dan aku mengatasi kejahatan dalam diriku.

[24] Maka Tuhan memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu tanganku bersih daripada dosa.

[25] Kepada orang yang berbelas kasihan, Engkau memperlihatkan belas kasihan-Mu, kepada orang yang tidak bercela, Engkau memperlihatkan diri-Mu tidak bercela,

[26] kepada orang yang suci Engkau memperlihatkan kesucian-Mu, kepada orang yang menipu Engkau memperlihatkan kearifan-Mu.

[27] Engkau menyelamatkan orang yang rendah diri tetapi akan menundukkan orang yang angkuh.

[28] Engkau, ya Tuhan, akan menyalakan lampuku; Tuhan, Allahku akan menerangi kegelapanku.

[29] Dengan kekuatan daripada-Mu aku dapat melawan musuh yang ramai; dengan kekuatan daripada Allahku aku dapat melompati tembok.

[30] Jalan Allah itu sempurna; firman Tuhan terbukti benar. Dialah perisai pelindung semua yang bernaung kepada-Nya.

[31] Tiada Allah melainkan Tuhan, tiada Batu Pejal melainkan Allah kita.

[32] Allah yang memberiku kekuatan berjuang dan menjadikan jalan hidupku sempurna.

[33] Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; dan memantapkan jejakku di pergunungan.

[34] Dia melatih tanganku berperang; berupaya melengkungkan busur gangsa.

[35] Engkau telah memberiku perisai penyelamatan-Mu, tangan kanan-Mu telah memberiku kekuatan; kelunakan-Mu menjadikan aku besar.

[36] Engkau meluaskan jalan yang kutempuh, supaya kakiku tidak tergelincir.

[37] Aku telah memburu musuhku dan berdepan dengan mereka; aku tidak berpatah balik hingga kuhapuskan mereka.

[38] Aku telah melukakan mereka sehingga mereka tidak berdaya bangkit lagi; mereka telah rebah di bawah kakiku.

[39] Kerana Engkau telah memberiku kekuatan berperang; Engkau telah menundukkan di bawahku mereka yang bangkit menyerangku dahulu.

[40] Engkau telah menyerahkan nyawa musuhku ke tanganku, supaya aku membinasakan mereka yang membenciku.

[41] Mereka berteriak, tetapi tiada siapa menyelamatkan mereka – malah mereka merayu kepada Tuhan, tetapi Dia tidak menyahut mereka.

[42] Lalu aku menghancurkan mereka seperti debu ditiup angin; aku menghumbankan mereka seperti sampah-sarap di jalan.

[43] Engkau telah menyelamatkan aku daripada serangan; Engkau menjadikan aku pemerintah bangsa asing; bangsa yang tidak kukenali akan tunduk kepadaku.

[44] Sebaik-baik mereka mendengar tentangku, mereka taat kepadaku; orang asing itu tunduk kepadaku.

[45] Mereka menjadi putus asa; dan datang dengan ketakutan dari tempat persembunyian.

[46] Tuhan hidup selama-lamanya! Segala puji bagi Tuhan, Batu Pejalku! Segala kemuliaan bagi Allah, Penyelamatku!

[47] Allah yang membalas kejahatan orang terhadapku, dan menundukkan bangsa asing di bawahku,

[48] Dia menyelamatkanku daripada musuhku. Engkau, ya Tuhan, mengangkatku mengatasi mereka yang bangkit menyerangku; Engkau telah menyelamatkanku daripada manusia yang ganas.

[49] Maka itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, dalam kalangan bangsa asing; dan menyanyi memuji nama-Mu.

[50] Tuhan telah memberi penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja; Dia melimpahkan kasih setia kepada orang yang diurapi-Nya, kepada Daud, sampai anak cucu selama-lamanya.

Mazmur — Chapters