[1] Aku akan memuji-Mu, Ya Tuhan, dengan sepenuh hatiku; aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan,
[2] Aku akan girang bergembira dalam-Mu; aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, Ya Tuhan Maha Tinggi.
[3] Apabila musuhku berpatah balik; mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu.
[4] Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku; Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil.
[5] Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan membinasakan orang zalim; Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya.
[6] Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya, Engkau telah membinasakan kota-kota; sehingga luput daripada kenangan.
[7] Namun Tuhan akan kekal selama-lamanya; Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman.
[8] Dia akan menghakimi dunia dengan adil; Dia akan menghakimi manusia dengan saksama.
[9] Tuhan tempat bernaung bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada waktu kesusahan.
[10] Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu, kerana Engkau, ya Tuhan, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu.
[11] Nyanyikanlah pujian kepada Tuhan yang bertakhta di Sion; isytiharkan perbuatan-Nya kepada semua bangsa.
[12] Dia mengingati mereka apabila Dia membalas kekejaman orang yang menumpahkan darah; Dia tidak melupakan rintihan mereka yang menderita.
[13] Kasihanilah aku, ya Tuhan, timbangkan penderitaanku di tangan orang yang menganiayaku! Engkau yang mengangkatku daripada gerbang maut,
[14] supaya aku dapat memuji-Mu di gerbang Puteri Sion, aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkanku.
[15] Bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu telah jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri; kaki mereka terjerumus di dalam jerat yang dipasang sendiri.
[16] Tuhan dikenali kerana keadilan-Nya; orang zalim terjerat dalam perangkap buatan sendiri. Higayon. Sela
[17] Orang zalim akan musnah selama-lamanya, begitu juga bangsa-bangsa yang melupakan Allah.
[18] Kerana orang sesak tidak akan terus dilupakan, harapan orang miskin tidak akan musnah selama-lamanya.
[19] Bangkitlah, ya Tuhan, jangan biarkan manusia berleluasa; biarlah bangsa-bangsa dihakimi di hadirat-Mu.
[20] Timbulkan ketakutan dalam hati mereka, ya Tuhan, supaya bangsa-bangsa itu sedar diri mereka hanyalah manusia. Sela