Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 1:56

[1] Maha Besar Tuhan, segala puji bagi-Nya, di kota Allah kita, di bukit suci-Nya.

[2] Indah dalam ketinggiannya, kegembiraan seluruh bumi. Bukit Sion di bahagian utara Zafon, kota Raja yang Agung.

[3] Allah berada di istana kota ini; Dia telah menunjukkan diri-Nya sebagai Pelindung.

[4] Lihatlah, raja-raja telah berhimpun, mereka lalu bersama-sama,

[5] mereka melihatnya lalu berasa takjub; mereka cemas dan segera pergi.

[6] Mereka dicengkam ketakutan di situ, dan kesakitan seperti perempuan hendak bersalin.

[7] Seperti waktu Engkau memecahkan kapal-kapal Tarsis dengan angin ribut dari timur.

[8] Sebagaimana yang kami dengar, begitulah yang kami lihat di kota Tuhan Yang Maha Kuasa, di kota Allah kita: Allah akan memeliharanya untuk selama-lamanya. Sela

[9] Kami telah memikirkan, ya Allah, kasih setia-Mu, di dalam rumah suci-Mu.

[10] Menurut nama-Mu, ya Allah, demikianlah Engkau dipuji di serata bumi; tangan kanan-Mu penuh keadilan.

[11] Bergembiralah wahai Bukit Sion, bersukacitalah anak-anak perempuan Yehuda kerana penghakiman-Mu yang adil.

[12] Berjalanlah serata Sion, bersiar kelilingnya, hitung menara-menaranya,

[13] perhatikan kubu-kubunya, tatap istana-istananya, untuk diceritakan kepada anak cucu kelak.

[14] Kerana demikianlah Allah, Allah kita untuk selama-lamanya; Dia akan memimpin kita hingga ke akhir hayat.

Mazmur — Chapters