[1] Pujilah Tuhan! Pujilah Tuhan, wahai jiwaku.
[2] Selagi aku hidup, aku akan memuji Tuhan; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku masih wujud.
[3] Janganlah sandarkan kepercayaanmu kepada raja-raja, atau kepada anak manusia kerana pertolongan bukanlah daripadanya.
[4] Rohnya pergi, dia kembali menjadi tanah; pada hari itu juga semua rancangannya musnah.
[5] Diberkatilah orang yang ditolong oleh Allah Yakub, yang berharap kepada Tuhan Allahnya,
[6] yang telah menjadikan langit dan bumi, laut, dan segala yang di dalamnya – Dia tetap setia selama-lamanya.
[7] Dia menjalankan keadilan bagi mereka yang ditindas; Dia memberi makanan kepada mereka yang lapar. Tuhan memberi kebebasan kepada mereka yang dipenjarakan,
[8] Tuhan mencelikkan mata orang buta, Tuhan menegakkan mereka yang tersungkur, Tuhan mengasihi orang yang benar.
[9] Tuhan menaungi orang asing Dia membantu anak yatim dan balu, tetapi usaha orang zalim dihancurkan-Nya.
[10] Tuhan akan memerintah selama-lamanya, Allahmu, Wahai Sion, turun-temurun zaman-berzaman. Pujilah Tuhan!