Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:45

[1] Ya Tuhan, jangan marahi aku dalam kemurkaan-Mu jangan hukum aku dalam nyala keberangan-Mu.

[2] Kerana anak-anak panah-Mu menikamku sungguh dalam, dan tangan-Mu menekanku.

[3] Seluruh tubuhku sakit kerana kemurkaan-Mu; tulang-tulangku rapuh kerana dosaku.

[4] Kejahatan yang kulakukan telah keterlaluan seperti beban yang terlampau berat untukku.

[5] Luka-lukaku busuk bernanah kerana kebodohanku.

[6] Aku menderita, aku sungguh tertekan; aku berduka sepanjang hari.

[7] Kerana pinggangku penuh radang; dan seluruh tubuhku sakit.

[8] Aku daif dan remuk-redam; aku merintih kerana hatiku rusuh.

[9] Ya Tuhan, seluruh keinginanku terdedah di hadapan-Mu; dan rintihanku tidak tersembunyi daripada-Mu.

[10] Hatiku berdebar-debar, kekuatanku hilang; malah mataku juga kehilangan cahaya.

[11] Orang yang kusayangi dan sahabat handaiku takut mendekatiku kerana penyakit hawarku; dan saudara-maraku menjauhkan diri daripadaku.

[12] Orang yang ingin membunuhku memasang jerat untukku, mereka yang hendak mencederakan aku bercakap tentang kebinasaanku; dan merancangkan penipuan sepanjang hari.

[13] Tetapi aku, seperti orang tuli, tidak mendengar, aku seperti orang bisu yang tidak membuka mulut;

[14] Demikianlah aku seperti seorang yang tidak mendengar, dan tidak berkata apa-apa tentang segala yang berlaku.

[15] Kepada-Mu, ya Tuhan, aku berharap; Engkau akan mendengar, Ya Tuhan, Allahku.

[16] Kerana aku berkata, "Dengarlah rayuanku, supaya mereka tidak bergembira dengan penderitaanku, supaya apabila kakiku tergelincir, mereka tidak mengangkat diri menentangku."

[17] Aku lemah mungkin rebah, dan kesedihan sentiasa kurasakan.

[18] Aku akan mengakui kejahatanku; aku sedih terseksa kerana dosaku.

[19] Tetapi musuhku bertenaga dan gagah; dan mereka yang membenciku tanpa sebab yang wajar telah berganda bilangannya.

[20] Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan menjadi seteruku kerana aku menegakkan kebaikan.

[21] Janganlah tinggalkan aku, ya Tuhan; Ya Allahku, janganlah jauh daripadaku.

[22] Segeralah tolong aku, Ya Tuhan, Penyelamatku!

Mazmur — Chapters