[1] Jangan gusar kerana orang melakukan kejahatan dan jangan iri hati kepada orang yang melakukan kedurjanaan;
[2] kerana tidak lama lagi mereka akan ditebas seperti rumput, dan layu seperti layunya tumbuhan hijau.
[3] Percayalah kepada Tuhan, dan lakukan kebaikan; tinggallah di tanah ini dan berpeganglah kepada kesetiaan-Nya.
[4] Cari kebahagiaan daripada Tuhan maka Dia akan menunaikan hasrat hatimu.
[5] Serahkan jalan hidupmu kepada Tuhan; percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak:
[6] Dia akan menyatakan perbenaranmu seterang cahaya, dan keadilanmu seterang matahari tengah hari.
[7] Sandarkan hatimu kepada Tuhan dan sabarlah menanti tindakan-Nya; jangan gusar kerana ada yang makmur mengikut jalan sendiri, kerana ada yang menjayakan rancangan zalim.
[8] Jangan marah, jangan meradang; jangan gusar – segalanya cuma membawa mudarat.
[9] Orang yang melakukan kejahatan akan dimusnahkan, tetapi orang yang berharap kepada Tuhan akan mewarisi bumi.
[10] Hanya seketika lagi, orang zalim akan lenyap; malah kamu akan mencari dengan teliti bekas tempatnya, tetapi hapus sama sekali.
[11] Orang yang rendah hati akan mewarisi bumi dan akan bersukacita dengan kesejahteraan yang melimpah-limpah.
[12] Orang zalim menyusun rancangan menentang orang yang benar dan menggertakkan gigi terhadapnya;
[13] Tuhan mentertawakannya, kerana Tuhan tahu harinya akan tiba.
[14] Orang zalim telah menghunus pedang dan melengkungkan busur mereka untuk menindas orang miskin dan sesak, serta membunuh orang yang hidup tulus.
[15] Pedang mereka akan menembusi hati sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan.
[16] Sedikit yang dimiliki oleh seorang yang benar lebih baik daripada kekayaan besar orang zalim;
[17] kerana lengan orang zalim akan dipatahkan, tetapi Tuhan akan menolong orang yang benar.
[18] Tuhan mengetahui hidup orang yang tidak bercela, dan warisan mereka akan kekal selama-lamanya.
[19] Mereka tidak akan menanggung malu pada masa kesusahan; dan pada masa kebuluran bekalan makanan mereka akan mencukupi.
[20] Tetapi orang zalim akan binasa: dan semua musuh Tuhan seperti keindahan padang rumput, semuanya akan lenyap seperti asap.
[21] Orang zalim meminjam lantas tidak membayar, tetapi orang yang benar menunjukkan belas kasihan lalu memberi;
[22] orang yang diberkati Tuhan akan mewarisi bumi ini, tetapi mereka yang disumpah-Nya akan disingkiri.
[23] Langkah seorang yang baik diperintahkan oleh Tuhan, dan Dia meredai jalan yang dilaluinya;
[24] kalaupun orang itu tergelincir, dia tidak akan rebah, kerana Tuhan menyokongnya dengan tangan-Nya.
[25] Dari usia muda hingga tua sekarang, tidak pernah kulihat orang benar diabaikan Tuhan atau anak cucunya mengemis untuk makan.
[26] Mereka sentiasa pengasihan dan membantu; dan anak cucu mereka diberkati.
[27] Tinggalkanlah kejahatan, dan lakukan kebaikan; lalu hiduplah selama-lamanya.
[28] Kerana Tuhan kasih akan keadilan dan tidak akan meninggalkan umat-Nya yang warak. Mereka dipeliharakan selama-lamanya, tetapi keturunan orang zalim akan disingkiri;
[29] Orang yang benar akan mewarisi tanah ini dan tinggal di sini selama-lamanya.
[30] Mulut orang yang benar menuturkan kebijaksanaan, dan lidahnya bercakap tentang keadilan.
[31] Hukum Allahnya bertapak dalam hatinya; kakinya tidak akan tergelincir.
[32] Orang zalim memerhatikan orang yang benar; dan cuba membunuhnya;
[33] Tuhan tidak akan membiarkan orang yang benar di tangan orang zalim dan tidak akan menghukum orang benar dalam penghakiman.
[34] Berharaplah kepada Tuhan dan ikuti jalan-Nya. Maka Dia akan mengangkatmu untuk mewarisi tanah ini; apabila orang zalim disingkiri, kamu akan melihatnya.
[35] Aku telah melihat orang zalim berkuasa besar dan meluaskan lagi kuasanya seperti dahan-dahan pokok yang subur,
[36] namun dia lenyap, tiba-tiba dia tiada lagi; aku mencarinya, tetapi dia tidak mungkin ditemui.
[37] Perhatikan orang yang tidak bercela, teliti orang yang tulus; kerana masa hadapannya adalah kesejahteraan.
[38] Tetapi orang yang ingkar akan dibinasakan bersama-sama; masa hadapan orang zalim akan dihapuskan.
[39] Penyelamatan orang yang benar adalah daripada Tuhan; Dia ialah kekuatan mereka pada waktu kesusahan.
[40] Tuhan akan menolong dan menyelamatkan mereka; Dia akan menyelamatkan mereka daripada orang zalim dan memelihara mereka, kerana mereka berlindung kepada-Nya.