[1] Semoga Allah bangkit, semoga musuh-Nya bertempiaran; semoga semua yang membenci-Nya lari daripada-Nya.
[2] Seperti angin meniup asap, Ya Allah usirkan mereka; seperti lilin dilebur oleh api, semoga orang zalim binasa di hadapan Allah.
[3] Biar orang yang benar bersukacita; biar mereka bergembira di hadapan Allah; ya, biar mereka bergembira tidak terhingga.
[4] Menyanyilah untuk Allah, nyanyikan pujian untuk nama-Nya, sanjungi Dia yang memerintah awan – nama-Nya Tuhan – bergembiralah di hadirat-Nya.
[5] Dialah bapa kepada anak yatim, pelindung kepada balu, Dialah Allah di tempat bersemayam-Nya yang suci.
[6] Allah meletakkan mereka yang sebatang kara dalam lingkungan keluarga, Dia melepaskan mereka yang terikat dan memberi mereka kemakmuran; tetapi orang yang memberontak akan menetap di tanah tandus.
[7] Ya Allah, apabila Engkau memimpin umat-Mu, Engkau menyeberangi gurun, Sela
[8] bumi bergempa, langit menurunkan hujan kerana kehadiran Allah, Sinai terharu dengan kedatangan Allah, Allah Israel.
[9] Engkau, ya Allah, menghantar hujan lebat; untuk mengesahkan warisan pusaka-Mu, umat-Mu yang lesu menderita.
[10] Umat-Mu tinggal di situ, Engkau, ya Allah, memberi rahmat-Mu kepada mereka yang miskin melarat.
[11] Tuhan menurunkan firman, maka sungguh besar perhimpunan orang yang mengisytiharkannya:
[12] "Raja-raja yang memimpin tentera melarikan diri, mereka lari; kaum perempuan di rumah membahagikan rampasan.
[13] Walaupun engkau baring di antara kawanan domba, engkau seperti sayap merpati disalut perak, dan bulunya disalut emas tulen."
[14] Ketika Allah Yang Maha Kuasa mengusir raja-raja bertempiaran, kelihatan seputih salji di Zalmon.
[15] Gunung Basan sebuah gunung Allah; Gunung Basan banyak puncaknya.
[16] Mengapa kamu iri hati, hai gunung-gunung yang berpuncak banyak? Allah memilih gunung ini untuk kediaman-Nya, ya, Tuhan akan berada di sini selama-lamanya.
[17] Allah memiliki dua puluh ribu pedati malah ribuan ribu; datangnya Tuhan ke Sinai, ke tempat suci.
[18] Engkau telah naik ke tempat yang tinggi, Engkau membawa orang tawanan; Engkau menerima persembahan dalam kalangan manusia, malah daripada pemberontak – supaya Tuhan Allah akan tinggal di sana.
[19] Segala puji bagi Tuhan, Allah Penyelamat kita, yang setiap hari memikul beban kita. Sela
[20] Allah kita, Allah Penyelamat; dan daripada Allah, Tuhan ada kebebasan daripada kematian.
[21] Tetapi Allah akan mencederakan kepala musuh-Nya, mereka yang terus melakukan dosa.
[22] Tuhan telah berfirman, "Aku akan membawa mereka pulang dari Basan; Aku akan membawa mereka pulang dari lautan dalam,
[23] "supaya kakimu dapat meremukkan mereka dalam lumuran darah, dan anjingmu menjilat habuannya daripada musuhmu."
[24] Mereka telah melihat perarakan-Mu, ya Allah, perarakan Allahku, Rajaku ke khemah-Mu.
[25] Para biduan berjalan di hadapan, pemain alat muzik di belakang; antara mereka gadis-gadis bermain tamborin.
[26] Pujilah Allah dalam semua perhimpunan; pujilah Tuhan wahai umat daripada perhimpunan Israel.
[27] Suku Benyamin yang terkecil berjalan dahulu, diikuti ketua-ketua Yehuda dan pengikut mereka, kemudian ketua-ketua Zebulon dan Naftali.
[28] Allahmu telah memerintahkan supaya kami diberi kekuatan; Kukuhkanlah, ya Allah, segala yang telah Kaulakukan; segala yang telah Kaulakukan untuk kami.
[29] Kerana Bait Suci-Mu di Yerusalem raja-raja membawa persembahan untuk-Mu.
[30] Murkailah bangsa yang seperti binatang liar di rumput air, dan bangsa-bangsa yang seperti lembu jantan bersama anak-anaknya. Sehingga semuanya tunduk mempersembahkan perak kepada-Mu. Usirlah pencinta perang sehingga bertempiaran.
[31] Para utusan akan dihantar dari Mesir; Kush akan segera menghulur tangan kepada Allah.
[32] Bernyanyilah untuk Allah, hai kerajaan-kerajaan di bumi, nyanyikan puji-pujian kepada Tuhan, Sela
[33] kepada Dia pemerintah langit purba tertinggi, sesungguhnya Dia berfirman dengan penuh kekuasaan.
[34] Isytiharkan kekuatan Allah, keunggulan-Nya memerintah Israel, dan kekuatan-Nya di angkasa.
[35] Ya Allah, Engkau lebih menakjubkan daripada tempat-tempat suci-Mu; Allah Israel memberi kekuatan dan kekuasaan kepada umat-Nya. Segala puji bagi Allah!