[1] Lalu Ayub menjawab,
[2] "Sesungguhnya, aku tahu sedemikian halnya. Tetapi bagaimana mungkin seorang manusia benar di hadapan Allah?
[3] Jika dia ingin bertikai dengan-Nya, maka tidak ada satu pun daripada seribu pertanyaan dapat dijawabnya.
[4] Allah itu bijak hati-Nya dan besar kuasa-Nya. Siapa dapat berkeras mengingkari-Nya dan tetap selamat?
[5] Dialah yang memindahkan gunung-gunung tanpa diketahui orang, yang menterbalikkan semua itu dalam murka-Nya.
[6] Dia yang menggerakkan bumi dari tempatnya sehingga tiang-tiangnya bergoncang.
[7] Dia yang memberikan perintah kepada matahari sehingga tidak terbit, dan yang memateraikan bintang-bintang.
[8] Dia sendiri yang membentangkan langit, dan menginjak gelombang-gelombang laut.
[9] Dia yang menjadikan bintang Biduk, bintang Belantik, bintang Kartika, dan gugusan bintang selatan.
[10] Dia melakukan hal-hal besar yang tidak dapat diduga, dan hal-hal ajaib yang tidak terhitung.
[11] Jika Dia lalu di sisiku, aku tidak melihat-Nya. Jika Dia melintas, aku tidak menyedari kehadiran-Nya.
[12] Jika Dia menyambar, siapa dapat menahan-Nya? Siapa mampu berkata kepada-Nya, 'Apakah yang Engkau lakukan?'
[13] Allah tidak akan menahan murka-Nya, para pembantu Rahab tunduk di bawah kuasa-Nya.
[14] Bagaimana pula aku dapat menjawab Dia, atau memilih kata-kataku di hadapan-Nya?
[15] Walaupun aku tidak bersalah, aku tidak dapat menjawab Dia, malah aku harus memohon belas ihsan daripada Hakimku.
[16] Jika aku berseru dan Dia menjawabku, aku tidak yakin sama ada Dia mahu mendengar suaraku,
[17] kerana Dia meremukkan aku dengan angin badai dan memperbanyak lukaku tanpa sebab.
[18] Dia tidak membiarkan aku bernafas semula, melainkan memenuhi aku dengan kepahitan.
[19] Kalau sentuh tentang kekuatan, Dialah yang kuat. Kalau sentuh tentang keadilan, Dia akan berkata, 'Siapa yang akan menggugat Aku?'
[20] Meskipun aku benar, mulutku sendiri akan menyatakan aku bersalah. Meskipun aku tidak bercela, Dia akan menyatakan aku bengkok.
[21] Aku ini tidak bercela, tetapi tidak kupedulikan diriku. Hidupku kupandang hina.
[22] Semuanya sama sahaja, kerana itu aku berkata: Dia memusnahkan orang yang tidak bercela dan juga orang fasiq.
[23] Jika bencana membunuh dengan tiba-tiba, Dia mempersenda-sendakan keputusasaan orang yang tidak bersalah.
[24] Bumi telah diserahkan ke dalam tangan orang fasiq. Dia menyelubungi muka para hakim di bumi; kalau bukan Dia, lalu siapa lagi?
[25] Kini hari-hariku lebih cepat daripada seorang pelari, menghilang tanpa melihat kebaikan;
[26] meluncur seperti perahu daripada papirus, seperti rajawali menyambar mangsa.
[27] Jika aku berfikir, 'Aku akan melupakan keluhanku, aku akan membuang muka murung dan tersenyum,'
[28] maka takutlah aku kepada segala kesusahanku. Aku tahu bahawa Engkau tidak akan menganggap aku tidak bersalah.
[29] Aku dinyatakan bersalah, apa gunanya aku berjerih lelah dengan sia-sia?
[30] Jika aku membasuh diriku dengan salji dan membersihkan telapak tanganku dengan sabun,
[31] namun Engkau akan membenamkan aku ke dalam lubang sehingga pakaianku sendiri menjijikkan aku.
[32] Dia bukan manusia seperti aku sehingga aku dapat menjawab-Nya, lalu kami pergi ke pengadilan bersama-sama.
[33] Tidak ada pengantara antara kami yang boleh meletakkan tangannya pada kami berdua.
[34] Biarlah Dia menyingkirkan tongkat-Nya daripadaku, janganlah rasa gentar terhadap-Nya membuat aku takut,
[35] maka aku akan berbicara tanpa rasa takut kepada-Nya. Tetapi keadaanku tidaklah sedemikian."