[1] "Sesungguhnya, mataku sudah melihat semua itu, telingaku sudah mendengar dan memahaminya.
[2] Apa yang kamu ketahui, kuketahui juga, aku tidak kurang daripada kamu.
[3] Namun demikian, aku hendak berbicara kepada Yang Maha Kuasa, aku ingin berperkara dengan Allah.
[4] Tetapi kamu, kamu yang menutupi kebohongan, kamu semua tabib yang tidak berguna!
[5] Andai kamu berdiam diri sahaja, itu akan menjadi hikmahmu.
[6] Dengarlah pembelaanku dan perhatikanlah bantahan bibirku.
[7] Patutkah kamu berbicara tidak benar atas nama Allah, dan mengucapkan dusta bagi Dia?
[8] Apakah kamu hendak memihak kepada-Nya? Apakah kamu hendak berbantah bagi Allah?
[9] Adakah kamu akan baik-baik sahaja kalau Dia memeriksa kamu? Dapatkah kamu menipu Dia seperti menipu manusia?
[10] Pasti Dia akan menegur kamu jika kamu memihak secara sembunyi-sembunyi.
[11] Bukankah keluhuran-Nya akan membuatmu gentar, dan ketakutan terhadap-Nya akan menimpa kamu?
[12] Mana-mana peringatanmu ialah pepatah-pepatah daripada debu, pembelaan dirimu ialah pembelaan daripada tanah liat.
[13] Diamlah, biarkan aku berbicara, dan biarkanlah apa-apa pun yang akan terjadi kepada diriku.
[14] Untuk apa aku membahayakan diriku, dan menatang nyawaku di tanganku?
[15] Sekalipun Dia membunuhku, aku mahu tetap berharap kepada-Nya. Hanya, aku hendak membela perilakuku di hadapan-Nya.
[16] Itulah juga yang akan mendatangkan penyelamatan bagiku, kerana orang munafik tidak akan datang menghadap-Nya.
[17] Dengarlah baik-baik kata-kataku, biarlah akuanku sampai kepada-Mu.
[18] Lihatlah, aku telah menyusun perkaraku, dan aku tahu bahawa aku akan didapati benar.
[19] Siapakah yang mahu bertelingkah dengan aku? Jika demikian aku akan berdiam diri dan putus nyawa.
[20] Hanya, kabulkan bagiku dua hal ini, maka aku tidak akan menyembunyikan diri dari hadirat-Mu:
[21] jauhkanlah tangan-Mu daripadaku dan janganlah kedahsyatan-Mu membuat aku takut.
[22] Kemudian panggillah, dan aku akan menjawab, atau biarkan aku berbicara, dan Engkau menjawab aku.
[23] Sebanyak manakah kesalahan dan dosaku? Beritahulah aku pelanggaran dan dosaku.
[24] Mengapa Engkau menyembunyikan hadirat-Mu, dan menganggap aku musuh-Mu?
[25] Akankah Engkau menyeksa sehelai daun yang diterbangkan angin, dan memburu tunggul jerami yang kering?
[26] Engkau menulis hal-hal yang pahit menentang aku, dan membuat aku mewarisi kesalahan masa mudaku.
[27] Engkau memasung kakiku, dan mengawasi segala pergerakanku. Engkau memasang batas di sekitar telapak kakiku.
[28] Atas manusia yang sudah seperti barang lapuk yang membusuk, seperti pakaian yang dimakan gegat."