Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:05

[1] Tahukah engkau masa kambing gunung beranak? Adakah engkau memperhatikan waktu rusa betina sakit beranak?

[2] Dapatkah engkau menghitung bulan-bulan kambing dan rusa ini mengandung? Tahukah engkau saatnya anak-anaknya dilahirkan,

[3] dan saatnya membongkok lalu melahirkan anak-anaknya, serta mengeluarkan buah sakit bersalinnya?

[4] Anak-anaknya menjadi kuat dan besar di padang terbuka, lalu pergi dan tidak kembali lagi kepada induknya.

[5] Siapakah yang melepaskan keldai liar sehingga ia bebas? Siapakah yang melepaskan tambatan keldai hutan?

[6] Aku menentukan tanah tandus sebagai rumahnya, padang garam sebagai tempat kediamannya.

[7] Ditertawakannya keriuhan kota, dan tidak didengarnya teriakan si tukang kerah.

[8] Dijelajahinya gunung-gunung padang rumputnya dan dicarinya apa-apa pun yang hijau.

[9] Sudikah seladang melayanimu? mahukah ia bermalam dekat kandang milikmu?

[10] Dapatkah engkau mengikat seladang dengan tali di alur bajak? mahukah ia menyisir tanah lembah mengikuti engkau?

[11] Dapatkah engkau bergantung padanya kerana kekuatannya besar? Dapatkah engkau menyerahkan kepadanya pekerjaanmu yang berat?

[12] Dapatkah engkau percaya bahawa ia akan membawa pulang hasil tanahmu dan mengumpulkannya di tempat pembantinganmu?

[13] Sayap burung unta mengepak riang, tetapi adakah seramah sayap dan bulu-bulu burung ranggung?

[14] Ditinggalkannya telurnya di tanah, dan dipanaskannya dalam debu.

[15] Dia lupa bahawa sembarang kaki dapat memecahkannya, atau binatang liar dapat menginjaknya.

[16] Dia berkeras terhadap anak-anaknya, seolah-olah bukan anaknya sendiri. Sungguhpun jerih lelahnya percuma, ia tidak takut,

[17] kerana Allah tidak memberinya hikmah dan tidak mengurniainya pengertian.

[18] Ketika ia mengepakkan sayapnya tinggi-tinggi untuk berlari, ia mentertawakan kuda dan penunggangnya.

[19] Adakah engkau yang memberikan kekuatan kepada kuda? Adakah engkau yang mengenakan surai pada tengkuknya?

[20] Adakah engkau yang membuatnya melompat seperti belalang? Dengusnya yang gagah sungguh mengerikan.

[21] Dia mengais-ngais di lembah dan bergirang kerana kekuatannya. Dia keluar menyongsong senjata.

[22] Dia mentertawakan kedahsyatan dan tidak kecut hati. Dia tidak berpaling dari pedang.

[23] Di atasnya ada tabung panah yang gemerencing, tombak yang berkilat dan lembing.

[24] Dengan garang dan gusar ditempuhnya tanah, ia tidak dapat tenang ketika sangkakala berbunyi.

[25] Setiap kali sangkakala berbunyi, ia berkata, 'Nah!' Dia mencium bau peperangan dari jauh, gemuruh para panglima dan sorak-sorai.

[26] Adakah kerana pengertianmu, helang melayang tinggi dan mengembangkan sayapnya ke arah selatan?

[27] Adakah atas perintahmu rajawali membumbung dan membuat sarangnya di tempat yang tinggi?

[28] Dia diam dan bermalam di bukit batu, di atas tebing bukit batu dan tempat yang kukuh.

[29] Dari situ ia mengintai makanannya, matanya memandang dari jauh.

[30] Anak-anaknya menghisap darah. Di mana ada yang terbunuh, di situ dia berada."

Ayub — Chapters