[1] Lalu Ayub menjawab,
[2] "Aku sudah mendengar banyak percakapan seperti itu. Kamu semua penghibur hati yang menyeksa!
[3] Tidak habis-habiskah kata-kata kosong itu? Apakah yang mendesak kamu sehingga engkau menjawab?
[4] Aku juga boleh berkata-kata seperti kamu, sekiranya kamu yang berada di tempatku. Aku boleh menyusun perkataan menentang kamu dan menggeleng-gelengkan kepala terhadapmu.
[5] Tetapi aku akan menguatkan kamu dengan mulutku, penghiburan bibirku akan meredakan dukacita kamu.
[6] Jika aku bercakap, deritaku tidak semakin reda, dan jika aku berdiam diri, adakah derita ini akan pergi daripadaku?
[7] Tetapi sekarang Dia telah membuat aku lelah. Engkau telah memporak-perandakan seluruh keluargaku.
[8] Engkau menjadikan aku kering kerepot – itulah yang menjadi saksi menentang aku, kekurusanku bangkit dan bersaksi di depanku.
[9] Murka-Nya mencabik-cabik dan menganiaya aku. Dia menggertakkan gigi-Nya terhadap aku. Lawanku memandang aku dengan tajam.
[10] Mereka mengangakan mulut kepadaku, menampar pipiku dengan celaan, dan berkerumun bersama-sama untuk melawan aku.
[11] Allah menyerahkan aku kepada orang zalim, dan menjatuhkan aku ke dalam tangan orang fasiq.
[12] Aku hidup dengan tenang, tetapi Dia meremukkan aku. Dia menangkap tengkukku dan meluluh-lantakkan aku. Dia menegakkan aku sebagai sasaran-Nya.
[13] Para pemanah-Nya mengelilingi aku. Dia membelah ginjalku tanpa rasa sayang, Dia menumpahkan hempeduku ke tanah.
[14] Dia mematahkan aku, lagi dan lagi. Dia berlari menyerang aku seperti seorang kesateria.
[15] Aku telah menjahit kain kabung pada kulitku, dan membenamkan kekuatanku dalam debu.
[16] Mukaku merah kerana menangis, di kelopak mataku ada bayang-bayang maut,
[17] padahal tidak ada kekerasan di tanganku dan doaku tulus ikhlas.
[18] Wahai bumi, jangan kaututup darahku, jangan ada tempat rehat bagi jeritanku!
[19] Sekarang juga, ketahuilah, Saksiku ada di syurga, Yang Bersaksi bagiku ada di tempat yang tinggi.
[20] Sahabat-sahabatku mencelaku, tetapi aku mencucurkan air mata di hadapan Allah,
[21] supaya Saksiku merayu kepada Allah bagi pihakku seperti manusia merayu bagi sesamanya.
[22] Setelah tibanya sekian tahun, aku akan menempuh jalan, dari situ aku tidak akan kembali lagi.