Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:38

[1] Kemudian Zofar, orang Naama, menjawab,

[2] "Patutkah kata-kata yang banyak tidak dijawab? Patutkah seorang yang banyak bercakap dilepaskan?

[3] Patutkah orang berdiam diri terhadap cakap besarmu? Ketika engkau mencemuh, masakan tidak ada yang mencela engkau?

[4] Katamu, 'Apa yang kuajarkan adalah murni. Aku bersih pada pandangan-Mu.'

[5] Tetapi semoga Allah sendiri berfirman dan berbicara langsung dengan engkau.

[6] Semoga Dia menyingkapkan kepadamu rahsia hikmah, kerana hikmah itu mempunyai dua segi. Ketahuilah bahawa Allah melupakan sebahagian daripada kesalahanmu.

[7] Dapatkah engkau memahami rahsia Allah? Dapatkah engkau memahami kesempurnaan Yang Maha Kuasa?

[8] Tingginya melebihi langit – apa yang dapat kaulakukan? Dalamnya melebihi alam kubur – apa yang dapat kauketahui?

[9] Ukurannya lebih panjang daripada bumi dan lebih lebar daripada laut.

[10] Jika Dia melintas, melakukan penangkapan, dan mengadakan sidang, siapakah yang dapat menahan-Nya?

[11] Sesungguhnya, Dia mengenal manusia penipu dan melihat kejahatan tanpa mengamat-amatinya.

[12] Tetapi orang bebal pun akan menjadi cerdas, jika anak keldai liar dapat lahir sebagai manusia.

[13] Jika engkau mengarahkan hatimu dan menadahkan tanganmu kepada-Nya,

[14] jauhkanlah kejahatan di tanganmu jika memang ada, dan jangan biarkan kezaliman ada di khemahmu.

[15] Dengan demikian engkau akan mengangkat muka tanpa malu, engkau akan menjadi teguh dan tidak takut.

[16] Engkau akan melupakan kesukaranmu, mengingatnya hanya seperti air yang telah mengalir lenyap.

[17] Hidupmu akan lebih cerah daripada tengah hari, kegelapan akan seperti pagi hari.

[18] Engkau akan berasa aman kerana ada harapan. Engkau akan melihat sekitarmu lalu tidur dengan aman.

[19] Engkau akan berbaring tanpa ada yang mengusik, bahkan ramai orang akan memohonkan belas kasihanmu.

[20] Tetapi mata orang fasiq akan menjadi sayu, mereka tidak akan mempunyai tempat melarikan diri dan harapan mereka sekadar untuk menarik nafas terakhir mereka."

Ayub — Chapters