[1] Setelah itu, Ayub membuka mulutnya dan mengutuk hari kelahirannya.
[2] Kata Ayub,
[3] "Biarlah binasa hari ketika aku dilahirkan dan malam ketika orang mengatakan, 'Seorang anak sedang dikandungkan!'
[4] Biarlah hari itu menjadi kegelapan. Semoga Allah jangan mengendahkannya dari atas, janganlah cahaya menyinarinya.
[5] Biarlah kegelapan dan bayang-bayang maut menuntutnya, biarlah awan menyelaputinya, biarlah apa yang menggelapkan siang mengejutkannya.
[6] Malam itu – biarlah kekelaman merenggutnya. Janganlah malam itu bersuka ria bersama dengan hari-hari dalam setahun, janganlah malam itu termasuk dalam bulan-bulan.
[7] Ya, biarlah malam itu menjadi mandul, janganlah terdengar sorak-sorai di dalamnya.
[8] Biarlah kalangan pengutuk hari mengutuknya, kalangan yang sedia membangkitkan amarah sang Lewiatan.
[9] Biarlah bintang-bintang senjanya menjadi gelap. Biarlah bintang-bintang mengharapkan cahaya tetapi tidak mendapatkannya, dan janganlah bintang melihat merekahnya fajar,
[10] kerana malam itu pintu-pintu kandungan ibuku tidak ditutup dan kesukaran tidak disembunyikan daripada mataku.
[11] Mengapa aku tidak mati sejak dalam rahim, atau putus nyawa ketika aku keluar daripada kandungan?
[12] Mengapa pangkuan menyambut aku? Mengapa ada susu ibu sehingga aku dapat menyusu?
[13] Kalau tidak, sekarang aku sudah berbaring dengan sentosa, aku sudah tidur dan berehat
[14] dengan para raja dan para penasihat bumi yang membina reruntuhan bagi diri mereka,
[15] atau dengan para pembesar pemilik emas, yang memenuhi rumah mereka dengan perak.
[16] Atau, mengapa aku tidak seperti anak gugur yang disembunyikan, seperti bayi yang tidak pernah melihat cahaya?
[17] Di sanalah orang fasiq berhenti meresahkan, di sanalah orang yang kehabisan tenaga berehat.
[18] Para tahanan pun berasa tenang bersama-sama, mereka tidak lagi mendengar suara si tukang kerah.
[19] Orang kecil dan orang besar ada di sana, dan si hamba dibebaskan daripada tuannya.
[20] Mengapa cahaya diberikan kepada orang yang dalam kesukaran, dan hidup kepada orang yang ada kepahitan jiwa?
[21] Mereka merindukan maut, tetapi maut tidak datang; mereka mencarinya lebih daripada harta karun;
[22] mereka teramat gembira dan girang ketika menemukan kubur.
[23] Mengapa cahaya diberikan kepada lelaki yang jalannya tersembunyi, yang dipagari Allah?
[24] Keluh-kesahku datang sebagai ganti makananku dan raunganku tercurah seperti air.
[25] Hal yang kutakuti telah mendatangiku, dan hal yang kugentari telah menimpaku.
[26] Aku tidak tenang, aku tidak sentosa, aku tidak dapat berehat; sebaliknya, keresahanlah yang datang."