[1] Maka Elifas, orang Teman, menjawab,
[2] "Patutkah orang bijak berdegar-degar menjawab dengan pengetahuan hampa, dan memenuhi perutnya dengan angin timur?
[3] Patutkah dia menegur dengan kata-kata yang tidak berguna, dan dengan penuturan yang tidak berfaedah?
[4] Engkau ini meniadakan ketakwaan, dan menghalang orang beribadat kepada Allah.
[5] Kesalahanmu mengajari mulutmu, dan engkau memilih lidah orang licik.
[6] Mulutmu sendiri yang mempersalah engkau, bukan aku. Bibirmu sendiri yang bersaksi menentang engkau.
[7] Adakah engkau insan yang pertama dilahirkan, atau yang lebih dahulu dijadikan daripada bukit-bukit?
[8] Adakah engkau turut mendengar dalam majlis perundingan Allah? Adakah engkau membatasi hikmah hanya bagi dirimu?
[9] Apa yang kauketahui, yang tidak kami ketahui? Apa yang kaufaham, yang tidak jelas bagi kami?
[10] Orang yang beruban dan juga orang yang sudah tua ada di antara kami, bahkan kalangan yang lebih tua umurnya daripada ayahmu.
[11] Adakah penghiburan Allah terlalu kecil bagimu, firman yang ditujukan dengan lemah lembut kepadamu?
[12] Mengapa engkau terbawa perasaan hatimu dan mengapa matamu berkilat-kilat,
[13] sehingga engkau memalingkan hatimu menentang Allah dan mengeluarkan kata-kata semacam itu daripada mulutmu?
[14] Apakah manusia itu sehingga dia tidak bercela, atau yang dilahirkan perempuan itu sehingga dia tidak bersalah?
[15] Sesungguhnya, para malaikat suci-Nya pun tidak dipercayai-Nya dan segala langit pun tidak bersih pada pandangan-Nya;
[16] lebih-lebih lagi orang yang keji dan buruk, yang meminum kezaliman seperti air.
[17] Aku hendak menyatakan sesuatu kepadamu, dengarlah aku. Hal yang telah kulihat ini akan kuceritakan,
[18] iaitu hal yang diberitahukan oleh kalangan yang bijak dan yang tidak disembunyikan oleh nenek moyang mereka –
[19] kepada mereka sajalah negeri itu telah dikurniakan, tidak ada orang asing yang berjalan di tengah-tengah mereka.
[20] Orang fasiq menggeliat sakit seumur hidupnya, demikian juga orang kejam selama tahun-tahun yang disediakan baginya.
[21] Bunyi yang dahsyat masuk ke telinganya, pada masa damai pun dia didatangi perompak.
[22] Dia tidak percaya bahawa dia akan kembali dari kegelapan, pedang sudah menantinya.
[23] Dia mengembara mencari makanan, katanya, 'Di manakah makanan?' Dia tahu bahawa hari kegelapan sudah dekat.
[24] Kesesakan dan kesusahan mengejutkan dia. Semuanya menang atasnya seperti raja yang siap untuk berperang,
[25] kerana dia telah menghulurkan tangannya menentang Allah dan memberanikan diri menentang Yang Maha Kuasa.
[26] Dia berlari-lari menghadapi-Nya dengan menegangkan tengkuk, dengan perisainya yang tebal dan cembung.
[27] Dia menyelubungi mukanya dengan lemak, dan menimbunkan lemak di pinggangnya.
[28] Dia tinggal di kota-kota yang hancur, di dalam rumah-rumah yang tidak dihuni, yang ditentukan untuk menjadi timbunan puing.
[29] Dia tidak akan menjadi kaya dan hartanya tidak akan bertahan, miliknya tidak akan tahan lama di bumi.
[30] Dia tidak akan keluar dari dalam kegelapan. Nyala api akan melayukan cabang-cabangnya, dan dia akan disingkirkan oleh nafas mulut-Nya.
[31] Janganlah dia percaya kepada kesia-siaan dan menyesatkan dirinya, kerana kesia-siaan juga yang akan menjadi balasannya.
[32] Hal itu akan berlaku sebelum ajalnya, pelepahnya tidak akan menghijau.
[33] Dia akan meluruhkan buahnya yang belum masak seperti pokok anggur, dan mencampakkan bunganya seperti pokok zaitun.
[34] Orang munafik akan mandul, api akan melahap khemah-khemah orang yang makan suap.
[35] Mereka mengandung bencana dan melahirkan kejahatan, rahim mereka menghamilkan tipu daya."