Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:28

[1] "Bukankah manusia harus berjerih di bumi, dan bukankah hari-harinya seperti hari-hari orang upahan?

[2] Seperti seorang hamba yang merindukan naungan, seperti seorang upahan yang menantikan upahnya,

[3] demikianlah diberikan kepadaku bulan-bulan yang sia-sia, dan malam-malam yang melelahkan ditentukan bagiku.

[4] Ketika aku berbaring, aku berfikir, 'Bilakah aku akan bangun?' Namun malam berlanjut dan aku terus kegelisahan sampai fajar.

[5] Tubuhku berselubung belatung dan gumpalan debu, kulitku mengeras lalu pecah.

[6] Hari-hariku lebih cepat daripada torak penenun, dan berakhir tanpa pengharapan.

[7] Ingatlah betapa nyawaku hanya hembusan nafas. Mataku tidak akan melihat kebaikan lagi.

[8] Mata orang yang melihat aku tidak akan memandang aku lagi. Engkau akan mencari aku, tetapi aku tidak ada lagi.

[9] Seperti awan lenyap dan menghilang, demikian juga orang yang turun ke alam kubur tidak akan naik lagi.

[10] Dia tidak akan kembali lagi ke rumahnya, tempat tinggalnya tidak akan mengenalinya lagi.

[11] Oleh sebab itu aku tidak mahu menahan mulutku. Aku akan bercakap dalam kesesakan hatiku, aku akan mengeluh dalam kepahitan jiwaku.

[12] Adakah aku ini laut atau raksasa laut, sehingga Engkau menempatkan penjaga ke atasku?

[13] Apabila aku berfikir, 'Tempat tidurku akan memberi aku kelegaan, ranjangku akan meringankan keluhanku,'

[14] maka Engkau mengejutkan aku dengan mimpi-mimpi dan membuat aku takut dengan aneka penglihatan,

[15] sehingga jiwaku lebih memilih untuk dicekik dan mati daripada tubuhku ini.

[16] Aku jemu, aku tidak mahu hidup terus, biarkanlah aku kerana hari-hariku sia-sia belaka.

[17] Apakah manusia sehingga Engkau membesar-besarkan dia, sehingga Engkau memperhatikan dia,

[18] sehingga Engkau mendatanginya setiap pagi dan menguji dia setiap saat?

[19] Bilakah Engkau mengalihkan pandangan-Mu daripadaku, dan membiarkan aku sehingga aku dapat menelan ludahku?

[20] Kalau aku berdosa, apakah yang telah kulakukan terhadap Engkau, ya Pengawas manusia? Mengapakah Engkau menjadikan aku sasaran-Mu, sehingga aku menjadi beban bagi diriku sendiri?

[21] Mengapakah Engkau tidak mengampunkan pelanggaranku dan menghapuskan kesalahanku? Sekarang aku akan berbaring dalam debu. Engkau akan mencari aku dengan saksama, tetapi aku tidak akan ada lagi."

Ayub — Chapters