[1] Ayub melanjutkan huraiannya, katanya,
[2] "Demi Allah yang hidup, yang telah mengambil hakku, demi Yang Maha Kuasa, yang telah membuat jiwaku menjadi getir,
[3] selagi aku masih lagi bernyawa dan nafas Allah masih di dalam lubang hidungku,
[4] bibirku tidak akan mengatakan kezaliman dan lidahku tidak akan mengungkapkan penipuan;
[5] janganlah aku sekali-kali berkata kamu tidak bersalah, sampai putus nyawa pun aku tidak akan menyingkirkan ketulusan hatiku.
[6] Kupegang perbenaranku dengan teguh dan tidak kulepaskan, hatiku tidak mencela sehari pun daripada umurku.
[7] Biarlah musuhku bernasib seperti orang fasiq, orang yang melawan aku seperti orang zalim.
[8] Apakah harapan orang durjana ketika Allah menghancurkannya ketika Allah mengambil nyawanya?
[9] Adakah Allah mahu mendengar seruannya ketika kesesakan menimpanya?
[10] Dapatkah dia bersenang-senang di dalam Yang Maha Kuasa dan berseru kepada Allah setiap waktu?
[11] Aku akan mengajar kamu fasal kuasa Allah, apa yang ada pada Yang Maha Kuasa tidak akan kusembunyikan.
[12] Sesungguhnya, kamu semua sudah melihatnya. Mengapa pula kamu mengujarkan kata-kata yang sia-sia?
[13] Inilah bahagian orang fasiq yang dikhaskan Allah, harta pusaka orang kejam yang diterima mereka daripada Yang Maha Kuasa:
[14] Jika anak-pinaknya bertambah ramai, mereka dimakan pedang. Anak cucunya tidak kenyang dengan makanan.
[15] Kalangan orangnya yang tertinggal dikuburkan kerana wabak, dan balu mereka tidak menangisi mereka.
[16] Sekalipun dia menimbunkan perak seperti debu dan melonggokkan pakaian seperti tanah liat,
[17] maka apa yang ditimbunkannya akan dipakai oleh orang benar, dan perak yang dilonggokkannya akan dibahagi-bahagikan oleh orang yang tidak bersalah.
[18] Dia mendirikan rumahnya sebagaimana sarang gegat, seperti pondok yang dibuat oleh si penjaga.
[19] Dia berbaring sebagai orang kaya, tetapi tidak lagi dapat melakukannya. Dia membuka matanya dan semuanya sudah tiada lagi.
[20] Kedahsyatan menyergapnya seperti air bah, angin puyuh melayangkannya pada malam hari.
[21] Angin timur mengangkatnya, lalu dia lenyap. Dia disapukan dari tempatnya.
[22] Tanpa belas kasihan, Allah melontarinya, dia lari pontang-panting daripada kuasa-Nya.
[23] Orang bertepuk tangan kerana dia dan berdesis-desis mengusirnya dari tempatnya."