Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:08

[1] "Tetapi sekarang, wahai Ayub, dengarlah kata-kataku, perhatikanlah segala yang kusampaikan.

[2] Lihatlah, kini mulutku kubuka, lidah di dalam mulutku berbicara.

[3] Kata-kataku menyatakan kejujuran hatiku, bibirku mengatakan dengan ikhlas apa yang diketahuinya.

[4] Roh Allah telah menjadikan aku, nafas Yang Maha Kuasa menghidupkan aku.

[5] Jawablah aku jika engkau sanggup! Susunlah perkataanmu di hadapanku! Pertahankanlah pendapatmu!

[6] Sesungguhnya, aku ini sama seperti engkau di hadapan Allah, aku juga dibentuk daripada tanah liat.

[7] Jadi, engkau tidak usah takut dan berasa gentar terhadap aku, desakanku kepadamu tidak akan memberatkan.

[8] Sungguh, engkau telah berkata-kata dekat pendengaranku, dan aku sudah mendengar bunyi kata-katamu,

[9] 'Aku suci, tanpa pelanggaran. Aku bersih, tidak ada kesalahan padaku.

[10] Tetapi Dia menemukan alasan untuk menentang aku, menganggapku musuh-Nya.

[11] Dia memasukkan kakiku ke dalam pasungan, dan mengawasi segala jalanku.'

[12] Namun demikian, kujawab engkau: dalam hal ini engkau salah. Allah itu lebih besar daripada manusia.

[13] Mengapa engkau berbantah-bantah terhadap Dia kerana Dia tidak menjelaskan segala tindakan-Nya?

[14] Allah berfirman dengan satu dua cara, tetapi orang tidak memperhatikannya.

[15] Dalam mimpi, dalam penglihatan pada malam hari, ketika tidur yang lelap melanda manusia, atau ketika dia mengantuk di tempat tidur,

[16] pada waktu itulah Dia membuka telinga manusia dan memateraikan teguran-teguran bagi mereka,

[17] supaya manusia dipalingkan daripada perbuatannya dan kesombongannya dilenyapkan.

[18] Dia menahan jiwa manusia daripada liang kubur, juga hidupnya, supaya jangan dilenyapkan oleh lembing.

[19] Allah menegurnya dengan penderitaan di tempat tidurnya, dan dengan nyeri yang terus-menerus ada dalam tulang-tulangnya,

[20] sehingga dirinya muak akan makanan, dan jiwanya menolak makanan yang sedap-sedap.

[21] Dagingnya susut sehingga tidak terlihat lagi, dan tulang-tulangnya, yang dahulu tidak kelihatan, sekarang tertonjol.

[22] Jiwanya mendekati liang kubur dan hidupnya mendekati para pembawa maut.

[23] Jika ada seorang malaikat menyertainya, atau seorang pengantara, satu antara seribu, untuk menyatakan kepada manusia apa yang lurus,

[24] maka Dia akan mengasihaninya dan berfirman, 'Lepaskan dia, supaya dia tidak turun ke liang kubur. Aku sudah mendapat tebusan.'

[25] Tubuhnya menjadi segar semula seperti tubuh kanak-kanak, dan dia akan kembali kepada masa mudanya.

[26] Dia berdoa kepada Allah dan Dia berkenan kepadanya, maka dia menghadap wajah-Nya dengan sorak-sorai; Allah mengembalikannya kepada kebenarannya.

[27] Lalu dia datang kepada manusia, katanya, 'Aku telah berdosa dan membengkokkan apa yang lurus, tetapi hal itu tidak dibalas kepadaku.

[28] Allah menebus jiwaku sehingga tidak masuk ke liang kubur. Hidupku akan melihat cahaya.'

[29] Sesungguhnya, semua hal itu dilakukan Allah dua tiga kali terhadap manusia,

[30] untuk mengembalikan nyawanya daripada liang kubur sehingga dia disinari oleh cahaya kehidupan.

[31] Perhatikanlah, wahai Ayub, dengarlah aku. Berdiam dirilah, aku hendak berbicara.

[32] Jika ada yang ingin kaukatakan, jawablah aku. Bicaralah, kerana aku ingin membenarkan engkau.

[33] Jika tidak, dengarlah aku. Berdiam dirilah, aku akan mengajarkan hikmah kepadamu."

Ayub — Chapters