[1] Elihu melanjutkan kata-katanya,
[2] "Bersabarlah sedikit dengan aku dan aku akan menyatakan sesuatu kepadamu kerana masih ada yang hendak kukatakan demi Allah.
[3] Aku akan menimba pengetahuanku dari jauh, dan akan menyatakan Penciptaku benar.
[4] Sungguh, kata-kataku bukanlah dusta; seorang yang sempurna pengetahuannya ada di depanmu.
[5] Ketahuilah, Allah itu perkasa tetapi tidak memandang hina sesiapa pun. Dia perkasa, teguh kehendak-Nya.
[6] Dia tidak membiarkan orang fasiq hidup, tetapi Dia memberikan keadilan kepada orang yang tertindas.
[7] Dia tidak mengalihkan pandangan-Nya daripada orang benar, tetapi Dia menempatkan mereka dengan raja-raja di atas takhta untuk selama-lamanya sehingga mereka ditinggikan.
[8] Jika mereka dibelenggu dengan rantai, tertangkap oleh tali-tali kesusahan,
[9] maka dinyatakan-Nya kepada mereka perbuatan dan pelanggaran mereka, bahawa mereka telah berlaku sombong.
[10] Dia membuka telinga mereka bagi pengajaran dan menyuruh mereka bertaubat daripada kejahatan.
[11] Jika mereka mendengar dan mahu beribadat, maka mereka akan menghabiskan hari-hari mereka dalam kemakmuran dan tahun-tahun mereka dalam kenikmatan.
[12] Tetapi jika mereka tidak mendengar, maka mereka akan dilenyapkan oleh lembing dan putus nyawa tanpa pengetahuan.
[13] Orang yang berhati munafik menyimpan amarah, mereka tidak berteriak minta tolong ketika Dia membelenggu mereka.
[14] Nyawa mereka putus pada masa muda, hidup mereka berakhir dalam kalangan pelacur lelaki kuil.
[15] Dia melepaskan orang yang tertindas melalui penindasan mereka, dan membuka telinga mereka melalui kesusahan.
[16] Dia juga memujuk engkau keluar dari dalam kesesakan ke tempat yang lapang, tempat tiada kesusahan. Hidangan di mejamu penuh makanan mewah.
[17] Tetapi engkau dipenuhi hukuman orang fasiq, hukuman dan keadilan mencengkam engkau.
[18] Jangan sampai kegusaran memujuk engkau mencemuh, janganlah besarnya tebusan menyesatkan engkau.
[19] Adakah kekayaanmu dapat menghindarkan engkau daripada kesesakan, atau segenap daya kekuatanmu?
[20] Jangan rindukan malam hari, ketika bangsa-bangsa dilenyapkan daripada tempat mereka.
[21] Berhati-hatilah, jangan berpaling kepada kejahatan, kerana itulah yang kaupilih daripada kesusahan.
[22] Sesungguhnya, Allah tinggi dalam kekuatan-Nya. Siapakah guru seperti Dia?
[23] Siapakah menentukan jalan bagi-Nya? Siapakah yang dapat berkata, 'Engkau telah berbuat zalim'?
[24] Ingatlah bahawa engkau harus memuliakan pekerjaan-Nya, yang dinyanyikan oleh manusia.
[25] Semua orang telah melihatnya, manusia memandangnya dari jauh.
[26] Sesungguhnya, Allah itu besar, tidak tercapai oleh pengetahuan kita. Jumlah tahun-Nya tidak terdaya diselidiki.
[27] Dia menarik titik-titik air yang tersuling menjadi hujan daripada kabus,
[28] yang dicurahkan oleh awan dan dititiskan ke atas ramai manusia.
[29] Siapakah yang dapat memahami perarakan awan, dan bunyi gemuruh dari kediaman-Nya?
[30] Sesungguhnya, Dia memencarkan kilat-Nya di sekeliling-Nya, dan menudungi dasar laut.
[31] Dengan semua itu Dia menghakimi bangsa-bangsa, dan mengurniakan makanan dengan berlimpahan.
[32] Dia menyelubungi tangan-Nya dengan kilat, dan menyuruhnya menyambar sasaran.
[33] Guruh-Nya menyatakan kedatangan badai, ternakan juga menyatakannya."