Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:48

[1] Kemudian Ayub menjawab,

[2] "Dengarlah baik-baik kata-kataku. Biarlah itu menjadi penghiburanmu.

[3] Bersabarlah, aku hendak berbicara. Setelah aku berbicara bolehlah kamu mempersendakan lagi.

[4] Adakah keluhanku tertuju kepada manusia? Mengapa hatiku tidak boleh tidak sabar?

[5] Pandanglah aku dan tercenganglah, tekapkanlah tangan ke mulut.

[6] Jika aku mengingatnya, aku tergoncang. Kengerian mencengkam tubuhku.

[7] Mengapakah orang fasiq terus hidup, menjadi tua bahkan bertambah-tambah kekuatannya?

[8] Keturunan mereka mapan di hadapan mereka dan bersama dengan mereka, anak cucu mereka di hadapan mata mereka.

[9] Rumah-rumah mereka aman, tidak ada yang berasa takut; tongkat penghukuman Allah tidak menimpa mereka.

[10] Lembu jantan mereka menjadi pembiak dan tidak gagal, lembu betina mereka beranak dan tidak keguguran.

[11] Mereka melepaskan kanak-kanak mereka keluar seperti kawanan domba, anak mereka melompat-lompat.

[12] Mereka menyanyi diiringi bunyi rebana dan kecapi, bergembira diiringi bunyi seruling.

[13] Mereka menghabiskan hari-hari mereka dalam kemakmuran dan dengan tenang turun ke alam kubur.

[14] Padahal mereka berkata kepada Allah, 'Nyahlah daripada kami! Kami tidak ingin mengenal jalan-jalan-Mu.

[15] Apakah Yang Maha Kuasa itu sehingga kami harus beribadat kepada-Nya? Apa faedahnya bagi kami kalau kami berdoa kepada-Nya?'

[16] Namun demikian, kemakmuran mereka tidak terletak dalam kuasa mereka sendiri! Maka nasihat orang fasiq itu memang jauh daripadaku.

[17] Berapa seringkah pelita orang fasiq dipadamkan, kemalangan menimpa mereka, dan kesakitan dibahagikan Allah kepada mereka dalam murka-Nya?

[18] Berapa seringkah mereka seperti jerami yang diterbangkan angin, seperti sekam yang dilayangkan angin puyuh?

[19] Kamu berkata, 'Kerana kesalahan seseorang Allah menyimpan hukuman bagi anak-anaknya,' tetapi biarlah itu dibalas atas kalangan itu sendiri, supaya mereka tahu!

[20] Biarlah matanya sendiri melihat kebinasaannya, biarlah dia sendiri minum daripada murka Yang Maha Kuasa,

[21] kerana peduli apa dia dengan keluarganya setelah dia mati, setelah berakhirnya sekian bulan-bulannya?

[22] Dapatkah orang mengajarkan pengetahuan kepada Allah, memandangkan Dia juga mengadili orang yang berkedudukan tinggi?

[23] Seorang mati dengan sepenuh kekuatannya, dan dalam segala keadaan terjamin dan selesa.

[24] Perutnya penuh dengan air susu, sumsum tulangnya masih segar.

[25] Seorang yang lain lagi mati dengan hati getir, tanpa pernah menikmati apa yang baik.

[26] Namun demikian, mereka sama-sama berbaring dalam debu; belatung menyelubungi mereka.

[27] Sesungguhnya, aku tahu apa yang kamu fikirkan dan muslihatmu untuk menzalimi aku.

[28] Kamu berkata, 'Di mana rumah pemuka itu? Di manakah khemah kediaman orang fasiq itu?'

[29] Adakah kamu pernah bertanya kepada orang yang lalu-lalang di jalan? Tidakkah kamu memperhatikan petunjuk-petunjuk mereka,

[30] bahawa orang jahat terlindung daripada hari bencana dan mereka dibawa menyingkir pada hari kemurkaan Allah?

[31] Siapakah yang menggugat kelakuannya di depan mukanya? Sesiapa yang membalas dia selaras dengan perbuatannya?

[32] Dia dihantar orang ke kuburan, makamnya dijaga.

[33] Gumpalan-gumpalan tanah di lembah terasa sedap baginya. Semua orang mengikuti di belakangnya, sebagaimana orang yang tidak terhitung banyaknya sudah mendahuluinya.

[34] Jadi bagaimanakah kamu dapat menghiburkan aku dengan kesia-siaan? Semua jawapanmu hanya menyisakan kemungkaran belaka."

Ayub — Chapters