Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:49

[1] Jawab Ayub kepada Tuhan,

[2] "Aku tahu bahawa Engkau sanggup melakukan apa-apa pun, dan rancangan-Mu tidak dapat dicegah.

[3] Firman-Mu, 'Siapakah ini, yang meragukan hikmah-Ku dengan tidak berpengetahuan?' Itulah sebabnya aku telah menyatakan apa yang tidak kufahami, hal-hal yang terlalu ajaib bagiku, yang tidak kuketahui.

[4] Firman-Mu, 'Dengarlah, Aku hendak berfirman. Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku.'

[5] Dahulunya, Engkau hanya kudengar melalui telinga, tetapi sekarang aku melihat Engkau dengan mataku.

[6] Oleh sebab itu aku memandang hina diriku, dan duduk menyesal dalam debu dan abu."

[7] Setelah Tuhan menyampaikan firman itu kepada Ayub, berfirmanlah Tuhan kepada Elifas, orang Teman, "Murka-Ku menyala terhadap engkau dan terhadap kedua-dua sahabatmu, kerana kamu tidak berkata benar tentang Aku seperti hamba-Ku Ayub.

[8] Sekarang, ambillah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan. Pergilah kepada hamba-Ku Ayub dan persembahkanlah korban bakaran demi dirimu. Ayub, hamba-Ku, harus berdoa untuk kamu, kerana hanya doanyalah yang akan Kuterima, supaya jangan Aku memperlakukan kamu selaras dengan kebodohan kamu. Kamu tidak berkata benar tentang Aku seperti hamba-Ku Ayub."

[9] Maka pergilah Elifas orang Teman, Bildad orang Suah, dan Zofar orang Naama, lalu melaksanakan apa yang difirmankan Tuhan kepada mereka. Tuhan pun menerima permohonan Ayub.

[10] Setelah Ayub berdoa untuk sahabat-sahabatnya, Tuhan memulihkan keadaan mereka. Kemudian Tuhan menambahkan segala milik Ayub dua kali lipat ganda dari dahulu.

[11] Semua saudara lelakinya, saudara perempuannya, dan semua kenalannya yang lama datang kepadanya dan makan bersama-sama di rumahnya. Mereka turut berdukacita dan menghiburkan dia kerana segala malapetaka yang telah ditimpakan Tuhan kepadanya. Masing-masing memberi dia sekeping wang dan sebutir cincin emas.

[12] Tuhan memberkati sisa hidup Ayub lebih daripada sebelumnya. Dia memiliki 14,000 ekor kambing dan domba, 6,000 ekor unta, 1,000 pasang lembu, dan 1,000 ekor keldai betina.

[13] Dia juga memiliki tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan.

[14] Anak perempuan yang pertama diberinya nama Yemima, yang kedua Kezia, dan yang ketiga Keren-hapukh.

[15] Di seluruh negeri tidak ada perempuan secantik anak-anak perempuan Ayub. Ayah mereka memberi mereka harta pusaka bersama-sama para saudara lelaki mereka.

[16] Setelah itu, Ayub masih hidup 140 tahun lamanya. Dia melihat anak cucunya sampai keturunan yang keempat.

[17] Kemudian Ayub pun meninggal ketika sudah tua dan lanjut usia.

Ayub — Chapters