[1] "Memang ada lombong-lombong perak dan tempat emas dimurnikan.
[2] Besi digali dari dalam tanah dan tembaga dilebur dari dalam batu.
[3] Orang mengakhiri kegelapan. Dia mencari batu-batuan sampai ke setiap hujung, di dalam kekelaman dan bayang-bayang maut.
[4] Jauh dari kediaman manusia, orang membuka lubang tambang; mereka dilupakan oleh para pejalan kaki, mereka turun jauh daripada manusia, mereka terayun-ayun.
[5] Bumi, yang mengeluarkan makanan, dibongkar bahagian bawahnya seakan-akan dimakan api.
[6] Batu-batuannya ialah tempat batu nilam, yang mengandung emas urai.
[7] Laluan ke situ tidak diketahui oleh burung pemangsa, mata burung lang pun belum pernah melihatnya.
[8] Binatang yang gagah tidak berjalan di situ, singa pun belum pernah melaluinya.
[9] Orang menghulurkan tangannya kepada batu api, membongkar pergunungan sampai ke akar-akarnya.
[10] Dia menggali terowong di batuan pejal, lalu matanya mendapati segala benda berharga.
[11] Dia membendung sungai-sungai supaya tidak mengalir keluar, lalu menyingkapkan apa yang tersembunyi.
[12] Tetapi di manakah hikmah ditemukan, di manakah tempat terdapatnya pengertian?
[13] Manusia tidak tahu akan nilainya; ia tidak ditemukan di negeri orang hidup.
[14] Samudera berkata, 'Ia tidak ada di dalamku,' laut berkata, 'Ia tidak bersama-samaku.'
[15] Ia tidak dapat diperoleh dengan emas murni, dan harganya tidak dapat ditimbang dengan perak.
[16] Ia tidak dapat dinilai dengan emas Ofir, dengan batu permata unam yang berharga atau dengan batu nilam.
[17] Emas dan kaca tidak dapat disejajarkan dengannya, barang-barang daripada emas murni tidak dapat menggantikannya.
[18] Merjan atau hablur tidak boleh disebut-sebut; harga hikmah itu melebihi batu delima.
[19] Manikam kuning dari Ethiopia pun tidak dapat disejajarkan dengannya, ia tidak dapat dinilai dengan emas tulen.
[20] Jadi, dari manakah datangnya hikmah? Di manakah tempat tinggal pengertian?
[21] Ia terlindung daripada mata semua yang hidup, tersembunyi daripada burung-burung di udara.
[22] Tempat kebinasaan dan maut berkata, 'Kami hanya mendengar desas-desusnya dengan telinga kami.'
[23] Allah mengerti jalan ke situ. Dia tahu tentang tempat tinggalnya,
[24] kerana Dia memandang sampai ke hujung-hujung bumi dan melihat segala sesuatu di kolong langit.
[25] Ketika Dia memberikan angin kekuatan dan mengukur air dengan pengukur,
[26] ketika Dia membuat titah bagi hujan dan jalan bagi kilat guruh,
[27] pada saat itulah Dia melihat hikmah dan menyatakannya. Dia menetapkannya, bahkan menyelidikinya.
[28] Lalu kepada manusia Dia berfirman, 'Sesungguhnya, takut kepada Tuhan, itulah hikmah, dan menjauhi kejahatan, itulah pengertian.' "