Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:46

[1] Maka Elifas, orang Teman, menjawab,

[2] "Jika orang cuba bercakap kepadamu, adakah engkau kesal? Tetapi siapakah yang dapat menahan diri daripada berkata-kata?

[3] Sesungguhnya, engkau telah mengajar ramai orang, dan engkau telah menguatkan tangan yang lemah.

[4] Kata-katamu telah menegakkan orang yang jatuh, dan engkau telah meneguhkan lutut yang longlai.

[5] Tetapi sekarang engkau yang ditimpa geruh dan engkau kesal, dirimu yang terkena dan engkau terkejut.

[6] Bukankah ketakwaanmu menjadi harapan kekuatanmu, dan ketulusan hidupmu menjadi pengharapanmu?

[7] Fikirkanlah, siapa binasa jika tidak bersalah? Mana ada orang benar yang dilenyapkan?

[8] Menurut pengamatanku, orang yang membajak kejahatan dan yang menabur kezaliman, hal-hal itu jua yang bakal dituainya.

[9] Oleh nafas Allah mereka binasa, oleh hembusan hidung-Nya mereka dihapuskan.

[10] Singa boleh mengaum, singa boleh bersuara, tetapi gigi-gigi singa muda dipatahkan.

[11] Singa jantan binasa kerana kekurangan mangsa, dan anak-anak singa betina tercerai-berai.

[12] Suatu hal disampaikan kepadaku secara diam-diam, telingaku menangkap bisikannya.

[13] Dalam kegelisahan kerana penglihatan pada malam hari, ketika tidur yang lelap melanda manusia,

[14] ketakutan dan kegentaran menimpaku, sehingga semua tulangku menjadi gementar.

[15] Suatu roh melintas di depanku, meremanglah bulu romaku.

[16] Ia berhenti, tetapi tidak dapat kukenali rupanya. Ada susuk yang hadir di hadapan mataku, hening, lalu kudengar suara,

[17] 'Mungkinkah manusia lebih benar daripada Allah? Mungkinkah manusia lebih suci daripada Allah?'

[18] Kalau hamba-hamba-Nya tidak dipercayai-Nya, dan para malaikat-Nya didakwa-Nya bersalah,

[19] apatah lagi mereka yang mendiami rumah tanah liat, yang asasnya berada di dalam debu, dan yang hancur seperti gegat.

[20] Di antara pagi dengan petang mereka diremukkan, mereka binasa untuk selama-lamanya tanpa dihiraukan.

[21] Bukankah tali khemah mereka dicabut? Mereka mati tanpa sebarang hikmah.

Ayub — Chapters