[1] Maka Bildad, orang Suah, menjawab,
[2] "Berapa lama lagi engkau akan bercakap demikian? Kata-kata mulutmu seperti angin ribut.
[3] Mungkinkah Allah memesongkan keadilan? Mungkinkah Yang Maha Kuasa memesongkan kebenaran?
[4] Jika anak-anakmu telah berdosa terhadap-Nya, maka Dia telah menyerahkan mereka ke dalam kuasa pelanggaran mereka.
[5] Jika engkau mencari Allah dengan tekun dan memohon belas kasihan daripada Yang Maha Kuasa,
[6] jika engkau suci dan jujur, pastilah Dia akan bertindak bagimu dan memulihkan kediaman yang menjadi hakmu.
[7] Walaupun pada awalnya engkau hina, pada akhirnya engkau akan menjadi sangat mulia.
[8] Tanyalah angkatan yang terdahulu dan perhatikanlah apa yang dikaji oleh nenek moyang mereka,
[9] kerana kita ini baru lahir semalam dan tidak tahu apa-apa, hari-hari kita di bumi seperti bayang-bayang sahaja.
[10] Bukankah mereka yang harus mengajar engkau, bercakap kepadamu, dan mengutarakan kata-kata daripada hati mereka?
[11] Dapatkah papirus tumbuh kalau bukan di rawa-rawa? Dapatkah mensiang tumbuh besar tanpa air?
[12] Selagi hijau dan belum dipotong, sudah layu lebih cepat daripada tumbuhan lain.
[13] Demikianlah jalan hidup semua orang yang melupakan Allah. Harapan orang munafik putus,
[14] keyakinannya dipatahkan, pegangannya seperti sarang laba-laba.
[15] Dia bersandar pada rumahnya, tetapi rumahnya itu tidak tetap tegak. Dia berpaut erat padanya, tetapi rumah itu tidak bertahan.
[16] Dia tumbuh segar di hadapan matahari, pucuk-pucuknya menjulur di tamannya.
[17] Akar-akarnya membelit timbunan batu, mencari tempat di antara batu.
[18] Jika dia disingkirkan daripada tempatnya, maka tempatnya itu akan menyangkal dia, katanya, 'Aku belum pernah melihat kamu.'
[19] Demikianlah kegirangan hidupnya, dan tumbuh-tumbuhan lain akan bertunas dari tanah.
[20] Ketahuilah, Allah tidak menolak orang yang tidak bercela dan tidak menolong orang yang berbuat jahat.
[21] Dia masih akan memenuhi mulutmu dengan tawa dan bibirmu dengan sorak-sorai.
[22] Orang yang membencimu akan diselubungi malu dan khemah orang fasiq tidak akan ada lagi."