Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:57

[1] Maka Elifas, orang Teman, menjawab,

[2] "Bergunakah manusia bagi Allah? Sesungguhnya, orang yang berhikmah berguna bagi dirinya sendiri.

[3] Adakah Yang Maha Kuasa senang hati kalau engkau benar? Apa untungnya bagi Dia kalau jalanmu tidak bercela?

[4] Adakah kerana ketakwaanmu kepada-Nya maka Dia menegur engkau dan datang berperkara denganmu?

[5] Bukankah kejahatanmu besar dan kesalahanmu tiada habisnya?

[6] Kauambil gadaian daripada saudaramu dengan sewenang-wenang, kaulucuti pakaian orang sehingga dia telanjang.

[7] Orang yang lelah tidak kauberi air minum, kautahan makanan daripada orang yang lapar.

[8] Orang yang berkuasalah yang memiliki tanah, dan orang yang terhormatlah yang mendudukinya.

[9] Kausuruh para balu pergi dengan tangan hampa, lengan anak yatim dipatahkan.

[10] Itulah sebabnya ada perangkap di sekelilingmu, dan engkau dikejutkan oleh kedahsyatan yang tiba-tiba

[11] atau oleh kegelapan sehingga engkau tidak dapat melihat, dan air bah meliputi kamu.

[12] Bukankah Allah bersemayam di langit yang tinggi? Lihatlah, betapa tingginya bintang-bintang yang tertinggi!

[13] Namun demikian, engkau berkata, 'Allah tahu apa? Masakan Dia mengadili dari balik kelam pekat itu?

[14] Awan menutupi-Nya sehingga Dia tidak dapat melihat, Dia berjalan-jalan di lengkungan langit.'

[15] Adakah engkau mahu tetap menuruti jalan lama yang ditempuh oleh kalangan jahat?

[16] Mereka telah dicabut sebelum waktu mereka, dasar mereka dihanyutkan sungai.

[17] Mereka berkata kepada Allah, 'Menjauhlah daripada kami!' dan, 'Apakah yang dapat dilakukan Yang Maha Kuasa terhadap kami?'

[18] Padahal Dialah yang memenuhi rumah mereka dengan segala yang baik-baik. Nasihat orang fasiq jauh daripadaku.

[19] Orang benar melihat hukuman mereka dan bersukacita, orang yang tidak bersalah mengolok-olokkan mereka demikian,

[20] 'Sungguh, lawan kita sudah dilenyapkan, peninggalan mereka sudah dimakan api.'

[21] Berdamailah hendaknya dengan Dia dan jadilah tenteram, maka kebaikan akan mendatangimu.

[22] Terimalah pengajaran-Nya, dan simpanlah firman-Nya dalam hatimu.

[23] Jika engkau berbalik kepada Yang Maha Kuasa, engkau akan dibangunkan kembali. Jika engkau menjauhkan kezaliman dari khemahmu,

[24] meletakkan biji emas di dalam debu, dan emas Ofir di antara batu kali,

[25] maka Yang Maha Kuasa akan menjadi khazanah kamu serta perak yang berharga bagimu.

[26] Sesungguhnya, pada waktu itu engkau akan bersenang-lenang kerana Yang Maha Kuasa, dan akan menengadahkan muka kepada Allah.

[27] Engkau akan berdoa kepada-Nya dan Dia akan mendengar kamu, engkau akan membayar nazarmu.

[28] Apa yang kauputuskan akan terlaksana bagimu, dan cahaya akan menyinari jalan-jalanmu.

[29] Apabila orang direndahkan, engkau akan berkata, 'Angkatlah!' dan orang yang tertunduk itu akan diselamatkan oleh-Nya.

[30] Dia akan melepaskan orang yang tidak bersalah, dan orang itu akan dilepaskan atas sebab kebersihan tanganmu."

Ayub — Chapters