Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:53

[1] "Mengapakah Yang Maha Kuasa tidak menentukan masa penghakiman? Mengapakah kalangan yang mengenal Dia tidak melihat hari pengadilan-Nya?

[2] Ada orang yang memindahkan batas tanah, mereka merampas kawanan ternak lalu menggembalanya.

[3] Mereka menghalau keldai anak yatim, mengambil lembu seorang balu sebagai gadaian.

[4] Mereka mendorong fakir miskin dari jalan, fakir miskin di negeri terpaksa bersembunyi bersama-sama.

[5] Sesungguhnya, seperti keldai liar di gurun fakir miskin itu pergi bekerja, mencari makanan dengan rajin. Padang gurun mengeluarkan makanan bagi anak-anak mereka.

[6] Mereka menuai makanan ternak di padang, dan memetik buah yang tertinggal di kebun anggur orang fasiq.

[7] Dengan telanjang mereka bermalam, kerana tidak ada pakaian; selimut pada waktu dingin pun tidak dipunyai mereka.

[8] Mereka basah oleh hujan pergunungan, mereka mendakap batu kerana tidak ada perlindungan.

[9] Ada orang yang merampas anak yatim daripada susu ibunya, dan mengambil gadaian daripada orang miskin

[10] yang terpaksa berkeliaran dengan telanjang tanpa pakaian, dan memikul berkas-berkas gandum tetapi tetap kelaparan.

[11] Mereka membuat minyak di antara tembok kalangan itu, mereka menginjak-injak tempat pemerasan anggur tetapi tetap kehausan.

[12] Orang mengerang dari dalam kota, hati orang yang terluka berteriak minta tolong, tetapi Allah tidak menuduh seorang pun berbuat salah.

[13] Ada orang yang menderhaka kepada cahaya; mereka tidak mengenal jalan-jalannya dan tidak tetap tinggal di lorong-lorongnya.

[14] Si pembunuh bangun pada waktu fajar, dibunuhnya orang miskin dan orang melarat. Pada malam hari dia berlaku seperti pencuri.

[15] Mata si penzina menantikan senja, katanya, 'Tak ada mata yang melihat aku,' dan dia memasang selubung muka.

[16] Pada waktu gelap mereka membongkar rumah, pada siang hari mereka menyembunyikan diri. Mereka tidak mengenal cahaya.

[17] Bagi mereka pagi hari sama seperti bayang-bayang maut, kerana mereka sudah terbiasa dengan kedahsyatan bayang-bayang maut.

[18] Mereka hanyut dengan cepat di permukaan air, bahagian mereka terkutuk di bumi. Tidak ada lagi yang pergi ke kebun anggur mereka.

[19] Kemarau dan panas menghabiskan air salji, demikian juga alam kubur menghabiskan kalangan berdosa.

[20] Rahim si ibu melupakannya, belatung melahapnya. Dia tidak diingat lagi, dan runtuhlah kezaliman seperti pokok.

[21] Dia memangsakan perempuan mandul, yang tidak beranak, dan tidak berbuat baik kepada seorang balu.

[22] Tetapi Allah menyeret kalangan perkasa dengan kekuatan-Nya. Sekalipun mereka bangkit, hidup mereka tidak terjamin.

[23] Allah memberi mereka keamanan yang menjadi sandaran mereka, mata-Nya memandangi jalan-jalan mereka.

[24] Mereka ditinggikan sebentar lalu tidak ada lagi, mereka direndahkan dan dikumpulkan seperti semua orang lain, mereka dipotong seperti bulir gandum.

[25] Jika tidak demikian adanya, siapa dapat membuktikan aku berdusta dan meniadakan kata-kataku?"

Ayub — Chapters