Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:54

[1] Berserulah! Adakah sesiapa yang akan menjawab kamu? Kepada siapakah antara malaikat suci akan engkau berpaling?

[2] Sesungguhnya, orang bodoh dibunuh oleh rasa kesal, dan orang yang bebal dimatikan oleh dengki.

[3] Aku pernah melihat orang bodoh berakar, tetapi tiba-tiba sahaja, kukutuk kediamannya.

[4] Anak-anaknya jauh daripada selamat, mereka dihancurkan di pintu gerbang tanpa ada yang menolong.

[5] Apa yang dituainya, dimakan habis oleh orang yang kelaparan, direnggut bahkan daripada duri, dan orang yang dahaga menghasratkan kekayaannya.

[6] Kesusahan tidak terbit daripada debu dan kesukaran tidak tumbuh dari tanah,

[7] tetapi manusia dilahirkan bagi kesukaran, seperti bunga api melayang tinggi.

[8] Tetapi aku, tentu aku akan mencari Allah, kepada Allah akan kuserahkan perkaraku.

[9] Dia melakukan hal-hal besar yang tidak mampu kita cari, hal-hal ajaib yang tidak terhingga jumlahnya.

[10] Dia menurunkan hujan ke permukaan bumi, dan mengirimkan air ke permukaan padang.

[11] Dia menempatkan orang bawahan pada kedudukan yang tinggi, dan orang yang berdukacita diangkat supaya selamat.

[12] Dia menggagalkan rancangan orang cerdik, sehingga upaya tangan mereka tidak berhasil.

[13] Dia memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri, dan rancangan orang yang banyak muslihat segera ditamatkan-Nya.

[14] Pada siang hari mereka menjumpai kegelapan, pada tengah hari mereka meraba-raba seperti pada malam hari.

[15] Tetapi Dia menyelamatkan orang melarat daripada pedang yang keluar daripada mulut mereka, bahkan daripada tangan orang yang kuat.

[16] Dengan demikian orang miskin mempunyai harapan, dan kezaliman tutup mulut.

[17] Sesungguhnya, berbahagialah orang yang ditegur Allah. Maka janganlah kaupandang rendah didikan Yang Maha Kuasa.

[18] Dia melukai, tetapi juga membalut. Dia meremukkan, tetapi tangan-Nya juga menyembuhkan.

[19] Dia akan melepaskan engkau daripada enam kesesakan, dan dalam yang ketujuh engkau tidak akan terkena malapetaka.

[20] Pada masa kelaparan Dia akan menebus engkau daripada maut, dan pada masa perang daripada kuasa pedang.

[21] Engkau akan terlindung daripada cemeti lidah orang, engkau tidak akan takut ketika kemusnahan datang.

[22] Engkau akan mentertawakan kemusnahan dan kelaparan, dan tidak akan takut kepada binatang liar.

[23] Dengan batu-batu di padang engkau akan mengadakan perjanjian, binatang liar akan berdamai dengan engkau.

[24] Engkau akan dapati khemahmu selamat sejahtera, ketika engkau memeriksa kediamanmu, engkau tidak akan kehilangan apa-apa.

[25] Engkau akan tahu bahawa keturunanmu menjadi ramai dan anak cucumu seperti rumput di bumi.

[26] Engkau akan masuk kubur pada takat penuh usiamu seperti timbunan gandum dibawa masuk pada musimnya.

[27] Sesungguhnya, hal-hal ini sudah kami kaji, dan memang demikianlah adanya. Dengarlah dan ketahuilah!"

Ayub — Chapters