[1] Ketiga-tiga orang itu berhenti menjawab Ayub, kerana Ayub menganggap dirinya benar.
[2] Lalu menyalalah amarah Elihu anak Barakheel, orang Bus, daripada kaum Ram. Dia marah kepada Ayub kerana Ayub membenarkan dirinya, dan bukan membenarkan Allah.
[3] Dia juga marah kepada ketiga-tiga sahabat Ayub, kerana mereka tidak boleh menjawab Ayub namun mempersalah dia.
[4] Elihu menanti kesempatan untuk dapat berbicara kepada Ayub, kerana mereka berumur lebih tua daripadanya.
[5] Tetapi ketika Elihu melihat bahawa tidak ada jawapan lagi daripada mulut ketiga-tiga orang itu, maka menyalalah amarahnya.
[6] Elihu anak Barakheel, orang Bus itu, berkata, "Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua, sebab itu aku segan dan takut menyatakan pendapatku kepadamu.
[7] Fikirku, 'Yang berumurlah yang harus berbicara, yang banyak tahunnyalah yang harus mengajarkan hikmah.'
[8] Tetapi roh di dalam diri manusia, iaitu nafas Yang Maha Kuasa, itulah yang memberikan pengertian kepadanya.
[9] Bukan yang banyak umurnya yang bijak, bukan yang tua yang mengerti keadilan.
[10] Oleh sebab itu aku berkata, 'Dengarlah aku. Aku juga hendak menyatakan pendapatku.'
[11] Ketahuilah, aku telah menantikan kamu ketika kamu berkata-kata, dan aku telah mendengar pertimbanganmu sementara kamu mencari kata-kata.
[12] Aku memperhatikan kamu, tetapi tiada seorang pun menempelak Ayub, tiada seorang pun antara kamu yang menjawab kata-katanya.
[13] Jangan berkata, 'Kami sudah menemukan hikmah. Biarlah Allah yang mengalahkan dia, bukan manusia.'
[14] Dia tidak menyusun kata-kata terhadap aku, dan aku tidak akan menjawabnya dengan kata-katamu.
[15] Mereka bingung, mereka tidak menjawab lagi, mereka kehabisan kata.
[16] Haruskah aku menanti kerana mereka tidak berbicara dan kerana mereka berdiri sahaja tanpa menjawab lagi?
[17] Aku juga hendak menjawab pada giliranku. Aku juga hendak menyatakan pendapatku,
[18] kerana aku penuh dengan perkataan; roh di dalam diriku mendesak aku.
[19] Sesungguhnya, batinku seperti anggur yang belum dibuka, seperti kirbat anggur baru yang hampir meletup.
[20] Aku harus berkata-kata supaya lega, aku harus membuka bibirku dan menjawab.
[21] Aku tidak akan memihak kepada sesiapa pun, dan aku tidak akan menyanjung-nyanjung seorang pun,
[22] kerana aku tidak tahu bagaimana untuk menyanjung-nyanjung; jika demikian kulakukan, Penciptaku akan segera mencabut nyawaku."