Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:39

[1] Inilah amsal Salomo anak Daud, raja Israel:

[2] untuk mengetahui hikmah dan didikan, untuk memahami kata yang dalam ertinya,

[3] untuk menerima didikan tentang budi pekerti, tentang apa yang benar, adil, dan lurus;

[4] untuk memberikan kearifan kepada orang yang betul bendul, serta pengetahuan dan budi bicara kepada kalangan muda.

[5] Orang bijaksana mendengar untuk menambah pengertiannya, dan orang yang arif memperoleh petunjuk

[6] untuk memahami pepatah serta petua, kata-kata orang bijaksana dan teka-teki mereka.

[7] Takut kepada Tuhan adalah permulaan pengetahuan; orang bodoh meremehkan hikmah dan didikan.

[8] Hai anakku, dengarlah didikan ayahmu, dan jangan lalai ajaran ibumu;

[9] kerana segalanya hiasan indah kepalamu, dan kalung bagi lehermu.

[10] Hai anakku, jika orang berdosa memujukmu, jangan turuti.

[11] Jika mereka berkata, "Ikutlah kami! Mari kita menghendap demi menumpahkan darah; mari kita serang hendap orang yang tidak bersalah tanpa sebarang sebab;

[12] mari kita menjadi bak alam barzakh dan menelan mereka hidup-hidup, bulat-bulat, seperti orang yang turun ke liang lahat;

[13] kita akan mendapat segala macam benda berharga, kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan;

[14] buanglah undimu ke tengah-tengah kami; kita kongsi bersama-sama segala yang kita samun!"

[15] Hai anakku, jangan ikut perilaku mereka; jauhkan kakimu dari jalan-jalan mereka,

[16] kerana kaki mereka cuma meluru menuju kejahatan, dan mereka bergegas kerana mahu menumpahkan darah.

[17] Betapa sia-sia membentangkan jaring di hadapan mata burung;

[18] namun mereka menanti untuk menumpahkan darah sendiri dan menghendap nyawa mereka sendiri.

[19] Demikianlah jadinya setiap orang yang tamak akan harta haram; kerakusannya itu bakal mencabut nyawanya sendiri.

[20] Hikmah berseru-seru di jalan raya, ia menyaringkan suaranya di lapangan.

[21] Di kepala jalan tumpuan ramai, ia bersuara, dan di muka pintu gerbang kota ia menyampaikan kata-katanya,

[22] "Hai orang yang betul bendul, sampai bilakah kamu cinta akan keadaanmu sebagai orang yang betul bendul? Sampai bilakah para pencemuh gemar mencemuh, dan orang bodoh benci akan pengetahuan?

[23] Berpalinglah mendengar teguranku. Sesungguhnya, aku akan mencurahkan isi hatiku kepadamu, aku akan menghuraikan manfaat kata-kataku kepadamu.

[24] Tetapi kamu menolak ketika kupanggil, dan tiada seorang pun mengendahkan ketika aku menghulurkan tanganku.

[25] Atas sebab kamu mensia-siakan semua nasihatku, dan tidak mahu menerima teguranku,

[26] aku pun akan mentertawakan bencana yang kamu alami; aku akan mencemuhmu ketika malapetaka menimpamu,

[27] ketika kengerian melandamu seperti badai, ketika bencana mendatangimu seperti angin puting beliung, ketika kesesakan serta kesusahan menimpamu.

[28] Pada waktu itu mereka akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Mereka akan bersungguh-sungguh mencari aku, tetapi mereka tidak akan menemukan aku.

[29] Mereka benci akan pengetahuan dan tidak memilih supaya takut kepada Tuhan.

[30] Mereka tidak mahu menerima nasihatku, dan menolak semua teguranku.

[31] Oleh itu, mereka akan memakan buah pilihan mereka, dan akan kenyang dengan khayalan mereka sendiri.

[32] Orang betul bendul akan terbunuh oleh sifat melulunya, dan kepuasan orang bodoh akan membinasakan mereka.

[33] Tetapi orang yang mendengar kata-kataku akan hidup sejahtera dan berasa selamat tanpa takut akan malapetaka."

Amsal — Chapters