[1] Apabila engkau duduk makan dengan seorang penguasa, perhatikanlah baik-baik apa yang ada di hadapanmu.
[2] Tempatkanlah pisau pada lehermu, jika engkau seorang yang rakus.
[3] Jangan ingini makanannya yang sedap, kerana makanan itu tipuan.
[4] Jangan bersusah payah untuk menjadi kaya, jadilah bijaksana dan batalkan niat sedemikian.
[5] Jika kaupandang sekilas, kekayaan itu lenyap, kerana pasti akan bersayap lalu terbang ke langit seperti rajawali.
[6] Jangan makan roti orang yang kikir, dan jangan ingini makanannya yang sedap-sedap,
[7] kerana dia seperti orang yang selalu menghitung-hitung dalam hati. Katanya kepadamu, "Makanlah dan minumlah," tetapi hatinya tidak tulus terhadapmu.
[8] Sepotong yang telah kaumakan akan kaumuntahkan, dan sia-sia sahaja kata pujianmu yang manis itu.
[9] Jangan berkata-kata di telinga orang bodoh, kerana dia akan menghina kata-katamu yang bijaksana.
[10] Jangan pindahkan batas tanah lama, dan jangan masuki ladang anak-anak yatim,
[11] kerana Penebus mereka kuat, dan Dia akan membela perkara mereka melawanmu.
[12] Arahkanlah hatimu kepada didikan, dan telingamu kepada kata-kata pengetahuan.
[13] Jangan enggan menertibkan anakmu, walaupun engkau memukulnya dengan rotan, dia tidak akan mati.
[14] Engkau memukul dia dengan rotan, dan rohnya engkau selamatkan daripada alam barzakh.
[15] Hai anakku, jika hatimu bijaksana, hatiku juga gembira.
[16] Batinku pun bersuka ria ketika bibirmu berkata perkara benar.
[17] Janganlah hatimu menaruh hasad dengki terhadap orang yang berdosa, tetapi takutlah kepada Tuhan selalu,
[18] kerana sesungguhnya ada masa depan, dan pengharapanmu tidak akan putus.
[19] Dengarlah, hai anakku, dan jadilah bijaksana, tujukanlah hatimu ke jalan yang benar.
[20] Jangan berada bersama-sama pemabuk atau orang yang rakus makan daging,
[21] kerana peminum dan orang yang rakus menjadi miskin, dan rasa mengantuk membuat orang berpakaian compang-camping.
[22] Dengarlah ayahmu, dia yang berolehmu, dan janganlah menghina ibumu pada masa tuanya.
[23] Belilah kebenaran dan jangan menjualnya, peroleh juga kebijaksanaan, didikan, dan pengertian.
[24] Ayah orang benar akan sangat gembira. Orang yang memiliki anak bijaksana akan bersukacita kerananya.
[25] Biarlah ayah dan ibumu bersukacita, dan biarlah dia yang melahirkanmu bersukacita.
[26] Hai anakku, berikanlah hatimu kepadaku, dan biarlah matamu menyukai jalan-jalanku.
[27] Kerana mulut perempuan lucah adalah lubang yang dalam, dan perempuan penzina ialah sumur yang sempit.
[28] Bahkan dia menunggu seperti penyamun, dan menambah jumlah pengkhianat dalam kalangan manusia.
[29] Siapa sengsara? Siapa menderita? Siapa berbantah-bantah? Siapa yang mengeluh? Siapa luka tanpa sebab? Siapa yang merah matanya?
[30] Mereka yang berlengah-lengah dengan air anggur, dan yang pergi mencari air anggur campuran.
[31] Jangan lirik air anggur ketika merah warnanya, meskipun berkilau-kilauan di dalam gelas, dan akan dengan lancar mengalir masuk.
[32] Pada akhirnya air anggur itu memagut seperti ular, dan menyemburkan racun seperti ular berbisa.
[33] Matamu akan melihat hal-hal yang aneh, dan fikiranmu mengutarakan hal-hal yang kacau.
[34] Engkau akan seperti orang yang berbaring di tengah laut, seperti orang yang berbaring di puncak tiang kapal.
[35] Engkau akan berkata, "Orang memukulku, tetapi aku tidak kesakitan, orang memalu aku, tetapi aku tidak merasakannya. Bila aku akan bangun? Aku akan mencari air anggur lagi."