[1] Air anggur itu pencemuh, minuman keras itu membuat gaduh, sesiapa yang terperdaya olehnya sememangnya tidak bijaksana.
[2] Murka raja laksana ngauman sang singa, sesiapa membangkitkan amarahnya, kehilangan nyawanya.
[3] Terhormatlah orang yang menjauhi persengketaan, tetapi setiap orang yang bodoh suka berbantah.
[4] Pada musim dingin si pemalas enggan membajak kerana kesejukan. Maka dia mencari hasil pada musim menuai dan tidak mendapat apa-apa.
[5] Niat yang terkandung dalam hati manusia seumpama air yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menyelaminya.
[6] Ramailah orang mencanangkan fasal kesetiaan mereka, tetapi siapakah yang dapat menemui orang yang betul-betul setia?
[7] Orang benar yang hidup dalam keikhlasan, begitu berbahagia sekali keturunannya!
[8] Raja yang duduk di atas kerusi pengadilan, menyingkirkan segala kejahatan dengan matanya.
[9] Siapa dapat berkata, "Aku telah menyucikan hatiku, dan aku tahir daripada dosaku"?
[10] Batu timbangan dan sukatan yang berbeza-beza, kedua-duanya kekejian bagi Tuhan.
[11] Kanak-kanak pun dapat dikenal melalui perbuatannya, sama ada kelakuannya bersih dan jujur ataupun tidak.
[12] Telinga yang mendengar dan mata yang melihat, kedua-duanya dijadikan oleh Tuhan.
[13] Janganlah suka tidur, supaya engkau tidak menjadi miskin, bukalah matamu, maka engkau akan berlebihan makanan.
[14] Kata si pembeli, "Tidak baik! Tidak baik!" tetapi setelah pergi berbanggalah dia.
[15] Ada emas dan banyak batu permata, tetapi bibir yang berpengetahuan ialah permata yang paling bernilai.
[16] Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya, dan tahanlah dia sebagai jaminan ganti orang asing.
[17] Roti hasil tipu daya sedap rasanya bagi seseorang, tetapi kemudian mulutnya penuh dengan batu kerikil.
[18] Rancangan terlaksana dengan adanya nasihat; dan berperanglah dengan pimpinan yang ampuh.
[19] Seseorang yang ke sana ke mari sebagai pemfitnah membuka rahsia, maka janganlah bersekongkol dengan orang yang bocor mulut.
[20] Sesiapa yang mengutuk ayahnya atau ibunya, pelitanya akan dipadamkan ketika gelap gelita.
[21] Harta warisan yang mula-mulanya diperoleh dengan segera, akhirnya tidak diberkati.
[22] Jangan berkata, "Aku hendak membalas kejahatan!" Nantikanlah Tuhan, maka Dia akan menyelamatkanmu.
[23] Batu timbangan yang berbeza-beza adalah kekejian bagi Tuhan, dan neraca tipuan tidaklah baik.
[24] Langkah-langkah manusia ditentukan oleh Tuhan. Maka bagaimana manusia dapat mengerti jalannya sendiri?
[25] Terjeratlah seseorang yang terburu-buru mengatakan sesuatu itu "Suci," dan hanya memikirkannya semula setelah dia bernazar.
[26] Raja yang bijak menyingkirkan orang durjana, lalu mengirik mereka secara berulang-ulang.
[27] Roh manusia seumpama pelita Tuhan, yang menyelami seluruh sanubarinya.
[28] Kasih kurnia dan kesetiaan melindungi raja, belas kasihan pula menopang takhtanya.
[29] Kemuliaan orang muda adalah kekuatannya, dan kehormatan tua-tua ialah uban mereka.
[30] Bilur-bilur luka mengumbah kejahatan, dan pukulan pula membersihkan sanubari.