[1] Manusia dapat menyusun rancangan dalam hati, tetapi jawapan lidah berasal daripada Tuhan.
[2] Segala jalan seseorang bersih menurut pandangannya sendiri, tetapi Tuhan sajalah yang menimbang niat hatinya.
[3] Serahkanlah perbuatanmu kepada Tuhan, maka rancanganmu akan terlaksana.
[4] Tuhan menjadikan segala sesuatu, masing-masing untuk tujuan-Nya, bahkan orang durjana untuk hari malapetaka.
[5] Semua yang bongkak hatinya adalah kekejian bagi Tuhan; yakinlah, mereka tidak akan terlepas daripada hukuman.
[6] Dengan kasih dan kesetiaan, dosa dihapuskan, dan kerana takut kepada Tuhan, orang menjauhi kejahatan.
[7] Jika Tuhan berkenan kepada jalan seseorang, Dia membuat musuh orang itu pun berdamai dengannya.
[8] Lebih baik penghasilan sedikit dengan perbenaran, daripada penghasilan banyak tanpa keadilan.
[9] Hati manusia merancang jalannya, tetapi Tuhan sajalah yang menentukan langkahnya.
[10] Pernyataan ilahi ada pada bibir raja, dalam perkara hukum mulutnya tidak akan berbuat mungkar.
[11] Timbangan dan neraca yang benar memang milik Tuhan, dan semua batu timbangan dalam pundi-pundi adalah ciptaan-Nya.
[12] Perbuatan yang jahat adalah kekejian bagi raja, kerana takhta kerajaan ditegakkan oleh perbenaran.
[13] Bibir yang berkata benar adalah kesukaan raja, dia mengasihi orang yang jujur perkataannya.
[14] Murka raja bagaikan malaikat maut, tetapi orang yang bijaksana akan meredakannya.
[15] Di wajah raja yang bersinar ada kehidupan, dan kebaikannya seperti awan yang membawa hujan akhir musim.
[16] Alangkah lebih baik memperoleh kebijaksanaan daripada emas, memperoleh pengertian patut lebih dipilih daripada perak!
[17] Jalan orang yang tulus menjauhi kejahatan, dan sesiapa menjaga jalannya, memelihara nyawanya.
[18] Keangkuhan mendahului kehancuran, dan hati yang sombong mendahului kejatuhan.
[19] Lebih baik merendahkan diri dengan orang miskin, daripada membahagi-bahagikan jarahan dengan orang sombong.
[20] Sesiapa yang mengendahkan firman akan mendapat kebajikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada Tuhan.
[21] Orang yang bijak hati disebut orang berpengertian, dan bicara manis meningkatkan pembelajaran.
[22] Akal budi itu mata air kehidupan bagi dia yang memilikinya, tetapi orang bodoh terseksa oleh kebodohannya.
[23] Hati orang bijaksana memimpin mulutnya menjadi bijaksana, dan menjadikan ucapan bibirnya lebih meyakinkan.
[24] Kata-kata yang menyenangkan seperti sarang lebah madu, manis bagi jiwa dan menyembuhkan tulang.
[25] Ada jalan yang dianggap orang sebagai lurus, tetapi akhirnya menuju maut.
[26] Rasa lapar seorang pekerja mendorongnya bekerja, kerana perutnya terus mendesaknya.
[27] Orang yang tidak berguna mencungkil kejahatan, dan di bibirnya bagaikan ada api yang menghanguskan.
[28] Orang yang suka memutarbalikkan sesuatu menimbulkan pertengkaran, dan pemfitnah menceraikan sahabat yang karib.
[29] Orang yang suka kekerasan memujuk jirannya, dan membawanya ke jalan yang tidak baik.
[30] Sesiapa yang sengaja mengenyitkan matanya merancang tipu muslihat, dan orang yang menggigit bibirnya telah pun melakukan kejahatan.
[31] Rambut yang beruban ialah mahkota yang mulia, yang didapati pada jalan kebenaran.
[32] Orang yang panjang sabar lebih baik daripada seorang kesateria, dan orang yang menguasai dirinya lebih baik daripada dia yang merebut kota.
[33] Undi dicabut ke dalam pangkuan, tetapi Tuhan sajalah yang menentukan setiap keputusannya.