Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:41

[1] Orang yang kerap kali ditegur tetapi tetap berdegil akan tiba-tiba binasa dan tidak dapat dipulihkan lagi.

[2] Ketika orang benar bertambah ramai, bersukacitalah rakyat, tetapi ketika orang durjana memerintah, mengeluhlah rakyat.

[3] Sesiapa menyukai hikmah, menyukakan ayahnya, tetapi orang yang bergaul dengan pelacur memboroskan hartanya.

[4] Raja menegakkan negeri dengan keadilan, tetapi orang yang menerima rasuah meruntuhkannya.

[5] Orang yang mengampu jirannya membentangkan jaring bagi kakinya.

[6] Orang yang jahat terjerat oleh pelanggarannya, tetapi orang benar bersorak-sorai dan bersukacita.

[7] Orang benar prihatin fasal hak orang miskin, tetapi orang durjana tidak memahami hal sedemikian.

[8] Para pencemuh membuat kota bergejolak, tetapi orang bijak menyurutkan amarah.

[9] Jika orang bijaksana berperkara dengan orang bodoh, orang bodoh itu marah dan mencemuh, akibatnya tidak ada ketenangan.

[10] Kalangan yang suka menumpahkan darah membenci orang yang tidak bersalah, dan mereka menginginkan nyawa orang yang tulus.

[11] Orang bodoh melampiaskan segala kemarahannya, tetapi orang bijaksana menahan diri.

[12] Jika seorang penguasa mendengar kata-kata dusta, maka semua pegawainya menjadi durjana.

[13] Si miskin dan si penindas mempunyai persamaan: Tuhan yang membuat mata kedua-duanya bersinar.

[14] Jika raja mengadili orang miskin dengan adil, maka takhta kerajaannya akan sentiasa kukuh.

[15] Rotan dan teguran memberikan hikmah, tetapi anak yang dibiarkan sahaja mendatangkan malu bagi ibunya.

[16] Ketika orang durjana bertambah ramai, bertambah pulalah pelanggaran, tetapi orang benar akan melihat kejatuhan mereka.

[17] Didiklah anakmu, maka dia akan memberikan ketenteraman kepadamu, dan menyukakan hatimu.

[18] Tanpa hidayah, rakyat tidak terkendali, tetapi berbahagialah orang yang berpegang teguh pada Hukum Taurat.

[19] Seorang hamba tidak dapat diajar dengan kata-kata sahaja, kerana sekalipun dia mengerti, dia tidak mengindahkannya.

[20] Adakah engkau memperhatikan orang yang bercakap dengan terburu-buru? Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia.

[21] Hamba yang dimanjakan sejak kecil pada akhirnya tidak tahu berterima kasih.

[22] Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran, dan orang yang panas baran banyak pelanggarannya.

[23] Keangkuhan seseorang akan merendahkannya, tetapi orang yang rendah diri akan memperoleh kehormatan.

[24] Sesiapa bersekutu dengan pencuri, membenci jiwanya sendiri; dia mendengar sumpah, tetapi tidak mahu menyatakan apa-apa.

[25] Rasa takut terhadap manusia mendatangkan jerat, tetapi sesiapa percaya kepada Tuhan akan terselamat.

[26] Ramai orang mencari muka pada penguasa, tetapi orang mendapat keadilan daripada Tuhan.

[27] Orang yang tidak adil adalah kekejian bagi orang benar, dan orang yang lurus jalannya dipandang keji oleh orang durjana.

Amsal — Chapters