Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:37

[1] Hai anak-anakku, dengarlah didikan seorang ayah dan perhatikanlah, supaya engkau memperoleh pengertian.

[2] Jangan abaikan peraturanku kerana aku memberimu ajaran yang baik.

[3] Ketika aku masih kanak-kanak dan tinggal bersama ayahku, masih kecil, dan anak tunggal bagi ibuku,

[4] ayahku mengajarku, katanya, "Pegang teguh kata-kataku dalam hatimu. Patuhilah perintah-perintahku, maka engkau akan hidup.

[5] Perolehlah hikmah! Perolehlah pengertian! Jangan lupakan, dan jangan menyimpang daripada kata-kata mulutku.

[6] Jangan abaikan hikmah, maka hikmah akan memelihara kamu; kasihilah ia, maka ia akan menjaga kamu.

[7] Hikmah adalah yang paling utama. Perolehlah hikmah dan dengan segala pemerolehanmu itu, perolehlah pengertian.

[8] Junjung tinggi hikmah, maka hikmah akan meninggikanmu. Ia akan menjadikan kamu terhormat jika engkau mendakapnya.

[9] Ia akan meliliti kepalamu dengan karangan bunga yang indah, dan akan mengurniakan kepadamu mahkota kemuliaan.

[10] Hai anakku, dengarlah dan terimalah kata-kataku, supaya banyak pula tahun hidupmu.

[11] Aku telah menunjukkan kepadamu jalan hikmah, dan aku telah membimbingmu di jalan-jalan yang lurus.

[12] Apabila engkau berjalan, langkahmu tidak akan terhalang, dan jika engkau berlari, engkau tidak akan tersandung.

[13] Peganglah didikan, jangan lepaskan; peliharalah ia, kerana ia hidupmu.

[14] Jangan masuki lorong orang durjana, dan jangan ikuti jalan orang yang jahat.

[15] Jauhilah jalan itu, jangan lalui. Menyimpanglah dari jalan itu, dan teruskanlah perjalananmu.

[16] Kerana mereka itu tidak dapat tidur selagi mereka belum melakukan kejahatan, dan mereka tidak mungkin lena jika belum membuat seseorang tersandung.

[17] Mereka makan roti kedurjanaan dan minum air anggur keganasan.

[18] Sebaliknya jalan orang benar seperti cahaya fajar, yang semakin benderang hingga puncak siang hari.

[19] Jalan orang durjana pula seperti kegelapan yang pekat; lantas mereka tidak tahu apa yang membuat mereka tersandung.

[20] Hai anakku, perhatikanlah ucapanku, arahkanlah telingamu kepada kata-kataku.

[21] Jangan biarkan semua itu luput daripada pandanganmu, simpanlah segalanya itu dalam hatimu.

[22] Kerana sesiapa menemukannya memperoleh hidup dan kesembuhan bagi seluruh tubuhnya.

[23] Jagalah hatimu lebih daripada segalanya, kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan.

[24] Buanglah penipuan daripada mulutmu, dan jauhkanlah bibir mungkar daripadamu.

[25] Hendaklah matamu memandang ke hadapan, dan tatapanmu lurus ke arah di depanmu.

[26] Ratakanlah jalan bagi kakimu, pastikan segala jalanmu akan teguh

[27] Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri; jauhkanlah kakimu daripada kejahatan.

Amsal — Chapters