Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:51

[1] Hai anakku, jika engkau menjadi penjamin bagi jiranmu, dan jika engkau membuat perjanjian jaminan dengan orang asing;

[2] jika engkau terjerat oleh kata-kata mulutmu, dan terbelenggu oleh pengucapan mulutmu,

[3] maka buatlah demikian, hai anakku dan lepaskanlah dirimu, kerana engkau telah jatuh ke dalam genggaman jiranmu. Pergilah, rendahkanlah dirimu, dan rayulah bersungguh-sungguh kepada jiranmu itu.

[4] Jangan biarkan matamu tertidur, atau kelopak matamu mengantuk.

[5] Lepaskanlah dirimu seperti kijang daripada tangan pemburu, dan seperti burung daripada tangan pemikat.

[6] Pergilah kepada semut, hai pemalas, perhatikanlah cara hidupnya dan jadilah arif.

[7] Meskipun tidak punya pemimpin, pengawas, ataupun penguasa,

[8] ia menyediakan makanannya pada musim panas, dan mengumpulkan perbekalan pada musim menuai.

[9] Berapa lama lagi engkau akan berbaring, hai pemalas? Bilakah engkau akan bangun daripada tidurmu?

[10] "Tidur sebentar, mengantuk sebentar, lipat tangan sebentar untuk berbaring."

[11] Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri, dan kesempitan seperti orang bersenjata.

[12] Seorang durjana dan seorang manusia yang tidak berguna, berjalan ke mana-mana dengan mulut mungkar.

[13] Dia mengenyitkan matanya, memberikan isyarat dengan kakinya dan berisyarat dengan jarinya.

[14] Dengan tipu muslihat yang menulari hatinya, dia sentiasa merancang kejahatan, menimbulkan pertengkaran.

[15] Kerana itu bencana akan datang menimpanya dengan tiba-tiba, dan sekonyong-konyong sahaja dia akan dihancurkan tanpa dapat dipulihkan lagi.

[16] Ada enam hal yang dibenci Tuhan, bahkan tujuh perkara yang menjadi kekejian bagi-Nya:

[17] Mata sombong, lidah dusta, tangan yang menumpahkan darah orang tidak bersalah,

[18] hati yang merancang hal-hal durjana, kaki yang cepat berlari menuju kejahatan,

[19] saksi dusta yang bertutur bohong, dan orang yang menimbulkan perbalahan antara saudara.

[20] Hai anakku, peganglah teguh perintah ayahmu, dan jangan abaikan ajaran ibumu.

[21] Tambatkanlah sentiasa semua didikan itu dalam hatimu, dan kalungkanlah pada lehermu.

[22] Apabila engkau berjalan, segalanya itu akan memimpinmu, apabila engkau berbaring, segalanya akan menjagamu, dan apabila engkau bangun, segalanya akan menyapamu.

[23] Kerana perintah itu pelita, dan ajaran itu cahaya, dan teguran yang mendidik adalah jalan kehidupan.

[24] Dengan demikian, engkau akan terpelihara daripada perempuan yang jahat, dan daripada pujuk rayu perempuan penzina.

[25] Janganlah hatimu mendambakan kecantikannya, jangan biarkan dia menjebakmu dengan kelopak matanya.

[26] Kerana perempuan lucah dapat disewa dengan sepotong roti, tetapi perempuan penzina memburu nyawa yang berharga.

[27] Dapatkah seorang lelaki membawa api di dalam dada bajunya, tanpa api menjilat pakaiannya?

[28] Jika seseorang berjalan di atas bara, masakan kakinya tidak terbakar?

[29] Demikian jugalah orang yang mencabul isteri jirannya. Sesiapa pun yang menyentuhnya tidak akan lepas daripada hukuman.

[30] Seorang pencuri tidak dihina jika dia mencuri sesuatu untuk memuaskan nafsunya ketika dia lapar.

[31] Tetapi jika tertangkap maka hendaklah dia mengganti tujuh kali ganda, dan hendaklah dia menyerahkan segala harta benda di dalam rumahnya.

[32] Tetapi orang yang berzina dengan isteri orang lain memang orang yang tidak berakal budi; dia membinasakan dirinya sendiri dengan berbuat demikian.

[33] Yang diperolehnya ialah luka dan aib, dan celanya tidak terhapuskan.

[34] Cemburu memang membuat lelaki berang, dan pada hari pembalasan dia tidak akan berbelas kasihan.

[35] Dia tidak akan mengendahkan tebusan apa pun, dan tidak akan menerima pemberianmu sebanyak mana pun.

Amsal — Chapters