Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:44

[1] Bukankah hikmah berseru-seru, dan pengertian menyaringkan suaranya?

[2] Di puncak tempat tinggi di tepi jalan serta di persimpangan, di sanalah ia berdiri.

[3] Di sebelah pintu gerbang, tempat masuk menuju kota serta di pintu-pintu masuk, ia mengangkat suaranya,

[4] "Hai umat insan, kepadamulah aku berseru, kepada semua anak manusia seruanku ditujukan.

[5] Hai orang yang betul bendul, perolehlah kecerdasan; hai orang bodoh, perolehlah pengertian.

[6] Dengarlah, kerana aku akan mengatakan hal-hal yang luhur, bibirku terbuka menyampaikan perkara-perkara yang betul.

[7] Mulutku akan mengatakan kebenaran; kedurjanaan adalah kekejian bagi bibirku.

[8] Segala kata-kata mulutku adalah benar, tiada yang songsang atau bengkang-bengkok.

[9] Segalanya itu jelas bagi orang yang berpengertian, dan tepat bagi orang yang berpengetahuan.

[10] Pilihlah ajaranku dan bukannya perak; pilihlah pengetahuan dan bukannya emas pilihan.

[11] Kerana hikmah lebih bernilai daripada segala permata, dan segala yang dihasratkan tidak setara dengannya.

[12] Aku, hikmah, hidup seiring kecerdasan, dan memperoleh pengetahuan serta kebijaksanaan.

[13] Takut kepada Tuhan bererti membenci kejahatan. Kesombongan, ketakburan, kejahatan, serta mulut mungkar, semuanya kubenci.

[14] Padaku ada nasihat dan hikmah yang baik, aku memiliki pengertian, dan juga kekuatan.

[15] Kerana akulah, raja-raja memerintah, dan para penguasa menetapkan keadilan.

[16] Kerana aku, para raja dan bangsawan berkuasa, malahan semua yang memerintah di bumi dengan adil.

[17] Aku mengasihi orang yang mengasihiku, sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari aku akan menemuiku.

[18] Kekayaan dan kehormatan ada padaku, demikian pula harta yang kekal dan kemakmuran.

[19] Buahku lebih baik daripada emas, bahkan melebihi emas tulen, demikian pula hasilku lebih baik berbanding dengan perak pilihan.

[20] Aku berjalan di jalan yang benar, di tengah-tengah lorong keadilan,

[21] demi mewariskan khazanah kepada kalangan yang mengasihiku, dan memenuhi perbendaharaan

[22] Tuhan menjadikan aku pada permulaan pekerjaan-Nya, sebagai karya-Nya yang sulung pada zaman purba.

[23] Aku ditetapkan sejak azali, sebelum ada bumi.

[24] Ketika samudera raya belum ada, aku telah lahir, ketika belum ada mata air yang berlimpah airnya.

[25] Sebelum gunung-ganang didirikan, dan lebih dahulu daripada penciptaan bukit-bukau, aku telah lahir,

[26] ketika Dia belum menjadikan bumi dan padang-padangnya, atau debu tanah yang mula-mula di dunia ini.

[27] Ketika Dia membentangkan langit, aku ada di sana, ketika Dia menempatkan kaki langit pada permukaan samudera;

[28] ketika Dia menetapkan awan-awan di atas, dan ketika segala mata air samudera menderas;

[29] ketika Dia menentukan batas bagi lautan supaya airnya tidak melanggar perintah-Nya, dan ketika Dia menetapkan asas-asas bumi,

[30] aku ada di samping-Nya sebagai ahli binaan. Hari demi hari aku menjadi kegembiraan-Nya,

[31] dan sentiasa bersenang-senang di hadapan-Nya, bergembira di atas muka bumi-Nya dan bahagia dengan anak-anak manusia.

[32] Sekarang, hai anak-anak, dengarlah kata-kataku, berbahagialah orang yang memelihara jalan-jalanku.

[33] Dengarlah didikan dan jadilah orang yang arif; jangan abaikannya.

[34] Berbahagialah orang yang mendengar kata-kataku, yang berjaga-jaga setiap hari di pintu gerbangku, dan yang menanti-nanti di pintu rumahku,

[35] kerana sesiapa yang menemukanku, menemukan hidup, dan Tuhan berkenan kepadanya.

[36] Tetapi sesiapa yang tidak menemukanku, melukai dirinya sendiri. Semua orang yang membenciku, mengasihi maut."

Amsal — Chapters