Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:31

[1] Jangan iri hati terhadap orang yang jahat, dan jangan ingin bergaul dengan mereka,

[2] kerana hati mereka memikirkan keganasan, dan bibir mereka membicarakan kejahatan.

[3] Dengan hikmah rumah dibina, dan dengan pengertian dikukuhkan.

[4] Dengan pengetahuan bilik-bilik dipenuhi dengan segala harta yang berharga dan indah.

[5] Orang bijaksana memiliki kuasa, dan orang yang berpengetahuan memantapkan kekuatan.

[6] Kerana dengan bimbingan engkau dapat berperang, dan jika banyak penasihat, ada kemenangan.

[7] Hikmah terlalu tinggi bagi orang bodoh, tidak berani dia membuka mulutnya di sidang pengadilan.

[8] Sesiapa merancang kejahatan akan disebut dalang.

[9] Rancangan yang bodoh adalah dosa, dan pencemuh adalah kekejian bagi manusia.

[10] Jika semangatmu lemah pada masa kesesakan, kecillah kekuatanmu.

[11] Lepaskanlah mereka yang ditawan untuk dibunuh, dan tahanlah mereka yang terhuyung-huyung menuju pembantaian.

[12] Jika engkau berkata, "Sungguh, kami tidak tahu hal itu!" Bukankah Dia, yang menguji hati, memahaminya? Bukankah Dia, yang memelihara nyawamu, mengetahuinya? Bukankah Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya?

[13] Hai anakku, makanlah madu, kerana itu baik, dan titisan madu manis dari sarang lebah manis untuk dikecapi.

[14] Ketahuilah bahawa demikianlah hikmah bagi jiwamu: jika engkau mendapatkannya, maka ada masa depan, dan harapanmu tidak akan lenyap.

[15] Jangan membidik kediaman orang benar seperti orang durjana, jangan rosakkan tempat tinggalnya.

[16] Walaupun orang benar jatuh tujuh kali, dia akan bangkit lagi, tetapi orang durjana dimusnahkan oleh malapetaka.

[17] Jangan bersuka ria ketika musuhmu jatuh, dan janganlah hatimu gembira ketika dia tersandung,

[18] supaya jangan Tuhan melihat hal itu dan berasa tidak senang, sehingga Dia memalingkan murka-Nya daripada orang itu.

[19] Jangan sebal hati kerana orang yang berbuat jahat, dan jangan iri hati terhadap orang yang durjana,

[20] kerana tidak ada masa depan bagi orang yang jahat, dan pelita orang yang durjana akan padam.

[21] Hai anakku, takutlah kepada Tuhan dan raja, dan jangan bergabung dengan para pemberontak,

[22] kerana kedua-duanya dapat menimbulkan bencana dengan tiba-tiba, dan siapa yang tahu kemalangan apa yang datang daripada kedua-duanya?

[23] Ini juga pepatah-pepatah orang bijaksana: Tidaklah baik bersikap berat sebelah dalam pengadilan.

[24] Sesiapa yang berkata kepada orang durjana, "Engkau benar," dia akan dikutuk oleh umat dan disumpah oleh suku-suku bangsa.

[25] Tetapi sesiapa menegur orang durjana itu akan disukai, dan berkat melimpah akan datang ke atasnya.

[26] Sesiapa memberikan jawapan yang tepat, seperti memberikan ciuman di bibir.

[27] Aturlah pekerjaanmu di luar, siapkanlah ladangmu, kemudian baru bina rumahmu.

[28] Janganlah menjadi saksi terhadap jiranmu tanpa alasan, atau memperdaya dengan bibirmu.

[29] Jangan berkata, "Sebagaimana dia berbuat atasku, akan kubalas setimpal atasnya juga. Aku membalas orang selaras dengan perbuatannya."

[30] Aku lalu di ladang seorang pemalas, serta berdekatan kebun anggur seorang yang kurang akal.

[31] Lihatlah, duri tumbuh di seluruh tempat itu, permukaan tanahnya diliputi jelatang, dan pagar batunya telah roboh.

[32] Aku memandangnya dan merenungkan hal itu; aku melihatnya lalu mengambil iktibar.

[33] "Tidur sebentar, mengantuk sebentar, lipat tangan sebentar untuk berbaring."

[34] Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri, dan kesempitan seperti orang bersenjata.

Amsal — Chapters