[1] Anak yang arif memperhatikan didikan ayahnya, tetapi pencemuh tidak mahu mendengar teguran.
[2] Daripada buah perkataannya seseorang menikmati kebaikan, tetapi orang yang khianat menginginkan kekerasan.
[3] Orang yang menjaga mulutnya memelihara nyawanya, tetapi orang yang banyak mulut akan mengalami kehancuran.
[4] Hati si pemalas penuh keinginan tetapi tidak mendapat apa-apa, tetapi hati orang rajin mendapat kepuasan berlimpah-ruah.
[5] Orang benar membenci perkara dusta, tetapi orang durjana mungkar dan tercela tindakannya.
[6] Perbenaran mengawal orang yang hidup tidak bercela, tetapi kejahatan menghancurkan orang yang berdosa.
[7] Ada orang yang berpura-pura kaya tetapi tidak punya apa-apa, ada pula yang berpura-pura miskin tetapi banyak hartanya.
[8] Kekayaan adalah tebusan nyawa seseorang, tetapi orang miskin tidak akan mendengar ancaman.
[9] Cahaya orang benar terang-benderang, tetapi pelita orang durjana akan padam.
[10] Keangkuhan hanya mendatangkan pertengkaran, tetapi hikmah ada pada orang yang menerima nasihat.
[11] Harta hasil penipuan akan susut dengan cepat, tetapi orang yang mengumpulkan sedikit demi sedikit akan melipatgandakannya.
[12] Harapan yang tertunda menyedihkan hati, tetapi keinginan yang termakbul ialah pokok hayat.
[13] Sesiapa yang menghina firman akan membinasakan dirinya sendiri, tetapi orang yang mentaati perintah akan mendapat pahala.
[14] Ajaran orang bijaksana ialah mata air kehidupan yang membolehkan orang menghindari jerat-jerat maut.
[15] Pengertian yang baik mendatangkan kurnia, tetapi jalan pengkhianat sarat dengan penderitaan.
[16] Setiap orang yang bijaksana bertindak dengan pengetahuannya, tetapi orang yang bodoh memperagakan kebodohannya.
[17] Pesuruh yang durjana jatuh ke dalam kesusahan, tetapi duta yang setia membawa penyembuhan.
[18] Kemiskinan dan aib akan menimpa dia yang melalaikan didikan, tetapi penghormatan menanti orang yang mengendahkan teguran.
[19] Keinginan yang termakbul begitu menyenangkan hati, tetapi bagi orang bodoh menjauhkan diri daripada kejahatan sesuatu kekejian.
[20] Orang yang bergaul dengan orang arif akan menjadi arif, tetapi orang yang berkawan dengan orang bodoh akan menderita.
[21] Malapetaka mengejar orang berdosa, tetapi kemakmuran adalah ganjaran orang benar.
[22] Orang baik meninggalkan warisan bagi anak cucunya, tetapi kekayaan orang berdosa tersimpan bagi orang benar.
[23] Ladang orang miskin menghasilkan banyak makanan, tetapi ladang itu lenyap kerana ketidakadilan.
[24] Orang yang enggan menggunakan rotan membenci anaknya, tetapi orang yang mengasihi anaknya sanggup mengajarnya.
[25] Orang benar ada kecukupan untuk memenuhi seleranya, tetapi perut orang yang durjana selalu merasa kekurangan.