[1] Hai anakku, jangan lupakan ajaranku, tetapi hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku,
[2] kerana segalanya akan memberikan kepadamu umur panjang, usia lanjut, dan kesejahteraan.
[3] Jangan biarkan kasih setia dan kebenaran meninggalkan kamu, kalungkannya di lehermu dan pahatkannya di loh hatimu.
[4] Dengan demikian engkau akan disukai serta memperoleh nama baik di mata Allah dan manusia.
[5] Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri.
[6] Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu.
[7] Jangan anggap dirimu bijak, takutlah kepada Tuhan dan jauhilah kejahatan.
[8] Itulah yang kelak mendatangkan kesihatan bagi tubuhmu dan kekuatan bagi tulang-tulangmu.
[9] Muliakanlah Tuhan dengan hartamu dan dengan hasil pertama daripada segala penghasilanmu,
[10] maka segala bangsal hasil tuaianmu akan terisi hingga melimpah-ruah dan meluaplah air anggur di dalam segala tempat pemerasan anggurmu.
[11] Hai anakku, jangan pandang sepi pengajaran Tuhan, dan janganlah berasa geram terhadap teguran-Nya,
[12] kerana Tuhan menegur orang yang dikasihi-Nya, seperti seorang bapa terhadap anak yang dikasihinya.
[13] Betapa berbahagianya orang yang mendapat hikmah, dan orang yang memperoleh pengertian,
[14] kerana labanya lebih besar daripada keuntungan perak, dan hasilnya lebih berharga daripada emas.
[15] Hikmah lebih bernilai daripada batu permata, dan apa-apa pun yang kamu idamkan tidak sebanding dengannya.
[16] Di tangan kanannya umur panjang, di tangan kirinya kekayaan dan kehormatan.
[17] Jalan-jalannya jalan keselesaan, dan segala lorongnya kesejahteraan.
[18] Hikmah pokok hayat bagi yang berpaut padanya, berbahagialah orang yang memeluknya seerat-eratnya.
[19] Dengan hikmah Tuhan meletakkan asas bumi, dan dengan pengertian Dia menetapkan langit.
[20] Dengan pengetahuan-Nya sumber air yang dalam terpancar keluar, dan awan-awan menitiskan embun.
[21] Hai anakku, peganglah hikmah dan kebijaksanaan, jangan biarkan semua itu luput daripada pandanganmu;
[22] semua itu akan menjadi kehidupan bagi jiwamu dan perhiasan bagi lehermu.
[23] Maka engkau akan melangkah di jalanmu dengan selamat, dan kakimu tidak akan tersandung.
[24] Ketika berbaring, engkau tidak akan berasa takut, engkau akan berbaring dan mendapat nikmat tidur yang lena.
[25] Janganlah takut terhadap kengerian yang datang tiba-tiba, atau terhadap kebinasaan yang kelak melanda orang durjana,
[26] kerana Tuhan sumber keyakinanmu, dan akan menjaga kakimu daripada terjerat.
[27] Janganlah menahan kebaikan daripada orang yang patut menerimanya, ketika engkau mampu melakukannya.
[28] Jangan katakan kepada sesamamu, "Pergilah dan kembalilah lagi, esok akan kuberi," padahal apa yang diminta itu ada padamu.
[29] Janganlah merancang kejahatan terhadap jiranmu, walhal dia tinggal tanpa curiga berdekatan denganmu.
[30] Jangan bersengketa tanpa alasan dengan orang yang tidak pernah berbuat jahat kepadamu.
[31] Janganlah iri hati terhadap orang yang ganas, dan jangan memilih satu pun daripada jalannya,
[32] kerana orang yang mungkar adalah kekejian bagi Tuhan, tetapi Dia akrab dengan orang yang tulus ikhlas.
[33] Kutukan Tuhan adalah terhadap rumah orang durjana, tetapi Dia memberkati kediaman orang benar.
[34] Dia mencemuh para pencemuh, tetapi Dia memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.
[35] Orang bijaksana akan mewarisi kehormatan, tetapi orang bodoh akan mendapat aib.