Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:26

[1] Jawapan yang lemah lembut meredakan murka, tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah.

[2] Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik, tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan.

[3] Tuhan melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja, memperhatikan yang jahat dan yang baik.

[4] Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat, tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat.

[5] Orang bodoh menolak didikan ayahnya, tetapi orang yang mengendahkan teguran memang bijaksana.

[6] Ada banyak harta benda di dalam rumah orang benar, tetapi penghasilan orang durjana membawa kesusahan.

[7] Bibir orang bijaksana menyebarkan pengetahuan, tetapi hati orang bodoh tidak demikian.

[8] Korban sembelihan orang durjana adalah kekejian bagi Tuhan, tetapi doa orang yang tulus memang keredaan-Nya.

[9] Jalan orang durjana adalah kekejian bagi Tuhan, tetapi Dia mengasihi orang yang mengejar perbenaran.

[10] Hukuman yang keras menanti sesiapa yang meninggalkan jalan yang benar, dan orang yang membenci teguran akan mati.

[11] Alam barzakh dan neraka terbuka di depan Tuhan, lebih-lebih lagi hati anak-anak manusia!

[12] Pencemuh tidak menyukai orang yang memberikan teguran; dia tidak mahu pergi menemui orang bijaksana.

[13] Hati yang gembira membuat wajah berseri, tetapi ketika hati berduka, patahlah semangat.

[14] Hati orang yang berpengertian mencari pengetahuan, tetapi mulut orang yang bebal menelan kebodohan.

[15] Bagi orang yang tertindas hari-harinya buruk belaka, tetapi hati yang riang sentiasa berpesta.

[16] Lebih baik sedikit harta disertai dengan takut kepada Tuhan daripada banyak harta disertai kekacauan.

[17] Lebih baik hidangan sayur di tempat wujudnya kasih, daripada hidangan lembu gemuk disertai kebencian.

[18] Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran, tetapi orang yang panjang sabar menenangkan pertikaian.

[19] Jalan si pemalas ibarat pagar duri, tetapi jalan orang yang lurus hati sebuah lebuh raya.

[20] Anak yang bijaksana menyukakan ayahnya, tetapi orang bodoh menghina ibunya.

[21] Kebodohan menjadi kesukaan bagi orang yang tidak berakal budi, tetapi orang yang berpengertian berjalan lurus.

[22] Rancangan gagal kerana tidak ada nasihat, tetapi berhasil dengan ramai penasihat.

[23] Seseorang bergembira kerana jawapan yang diberikannya, dan alangkah baiknya kata-kata yang diucap tepat pada waktunya!

[24] Jalan kehidupan orang bijaksana menuju ke atas, supaya dia menjauhi alam barzakh di bawah.

[25] Tuhan membongkar rumah orang yang sombong, tetapi Dia mempertahankan batas tanah seorang balu.

[26] Fikiran orang durjana adalah kekejian bagi Tuhan, tetapi perkataan yang menyenangkan suci bagi-Nya.

[27] Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri, tetapi orang yang membenci rasuah akan hidup.

[28] Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya, tetapi mulut orang durjana meluahkan hal-hal yang jahat.

[29] Tuhan jauh daripada orang yang durjana, tetapi doa orang benar didengar-Nya.

[30] Mata yang bercahaya menyukakan hati, dan khabar baik menyegarkan tulang.

[31] Orang yang mengendahkan teguran yang membawa pada kehidupan akan tinggal dalam kalangan bijaksana.

[32] Sesiapa menolak didikan, menghina diri sendiri, tetapi sesiapa yang mengendahkan teguran memperoleh pengertian.

[33] Takut kepada Tuhan adalah didikan yang mendatangkan hikmah, dan di sebalik kehormatan terdapat kerendahan hati.

Amsal — Chapters