[1] Ini juga amsal Salomo yang disalin oleh para pegawai Hizkia, raja Yehuda:
[2] Kemuliaan Tuhan adalah merahsiakan suatu perkara, tetapi kemuliaan para raja adalah menyelidiki suatu perkara.
[3] Seperti tingginya langit dan dalamnya bumi, demikianlah hati para raja tidak dapat diselidiki.
[4] Singkirkanlah tahi leburan daripada perak, maka terhasillah barang yang indah oleh tukang perak.
[5] Singkirkanlah orang durjana dari hadapan raja, maka takhtanya akan kukuh dalam perbenaran.
[6] Jangan membesarkan diri di hadapan raja, dan jangan berdiri di tempat para dif terulung,
[7] kerana lebih baik orang berkata kepadamu, "Naiklah ke mari," daripada engkau direndahkan di hadapan orang mulia yang matamu telah lihat sendiri.
[8] Janganlah terburu-buru membawa hal ke pengadilan, kerana apakah yang dapat kaulakukan pada akhirnya jika lawanmu mengaibkan kamu?
[9] Bicarakanlah perkaramu dengan jiranmu, tetapi jangan buka rahsia orang lain,
[10] supaya engkau tidak dicela oleh orang yang mendengar, dan nama kamu buruk selama-lamanya.
[11] Seperti buah epal emas bertata perak, demikianlah kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya.
[12] Seperti anting-anting emas dan perhiasan emas, demikianlah teguran yang bijaksana bagi telinga yang mendengarnya.
[13] Seperti sejuk salji pada musim menuai, demikianlah duta yang setia bagi orang yang mengutusnya; dia menyegarkan hati tuannya.
[14] Seperti awan dan angin yang tidak ada hujan, demikianlah orang yang bercakap besar fasal hadiah yang tidak pernah diberikannya.
[15] Dengan kesabaran seorang penguasa pun dapat diyakinkan, dan lidah yang lembut dapat mematahkan tulang.
[16] Kalau engkau mendapat madu, makanlah secukupnya. Jangan sampai terlalu kenyang lalu muntah.
[17] Janganlah sering pergi ke rumah jiranmu, supaya jangan dia jemu lalu membencimu.
[18] Seperti belantan, pedang, atau anak panah yang tajam, demikianlah orang yang bersaksi dusta atas jirannya.
[19] Seperti gigi yang patah dan kaki yang tergeliat, demikianlah kepercayaan kepada pengkhianat pada masa kesesakan.
[20] Seperti orang yang menanggalkan pakaian pada hari dingin dan seperti cuka pada garam abu, demikianlah orang yang bernyanyi untuk hati yang berdukacita.
[21] Jika musuhmu lapar, berilah dia makan, dan jika dia dahaga, berilah dia minum,
[22] kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya, dan Tuhan pun akan memberimu pahala.
[23] Angin utara menghasilkan hujan, dan lidah fitnah menghasilkan muka marah.
[24] Lebih baik tinggal di sudut bumbung rumah daripada serumah dengan isteri yang suka bertengkar.
[25] Seperti air sejuk bagi jiwa yang lelah, demikianlah khabar baik dari negeri yang jauh.
[26] Seperti mata air yang kotor atau pancuran air yang cemar, demikianlah orang benar yang goyah di hadapan orang durjana.
[27] Tidak baik makan madu banyak-banyak, demikian juga tidak terhormat orang yang mencari kehormatan diri.
[28] Seperti kota terbongkar yang tidak punya tembok, demikianlah orang yang tidak mengawal dirinya.