[1] Inilah amsal Salomo: Anak yang arif menyukakan hati ayahnya, tetapi anak yang bodoh adalah kedukaan ibunya.
[2] Harta hasil kedurjanaan tidaklah berfaedah, tetapi perbenaran melepaskan orang daripada maut.
[3] Tuhan tidak akan membiarkan orang benar kelaparan, tetapi Dia merintangi nafsu orang durjana.
[4] Tangan yang malas menempah kemiskinan, tetapi tangan yang rajin menghasilkan kekayaan.
[5] Anak yang bijaksana mengumpulkan hasil pada musim panas, tetapi anak yang tidur pada musim menuai membawa aib.
[6] Berkat memahkotai orang benar, tetapi mulut orang durjana menyembunyikan kejahatan.
[7] Kenangan akan orang benar membawa berkat, tetapi nama orang durjana akan membusuk.
[8] Hati yang bijak menerima perintah, tetapi orang bodoh yang banyak bercakap akan hancur.
[9] Orang yang hidup dalam keikhlasan, aman jalannya, tetapi sesiapa memesongkan jalannya akan diketahui juga.
[10] Orang yang mengenyitkan matanya mendatangkan duka, tetapi orang bodoh yang banyak bercakap akan hancur.
[11] Mulut orang benar ialah mata air kehidupan, tetapi mulut orang durjana menyembunyikan kejahatan.
[12] Kebencian menimbulkan perbalahan, tetapi kasih menutupi segala pelanggaran.
[13] Di bibir orang berpengertian terdapat hikmah, tetapi rotan tersedia bagi belakang orang yang kurang berakal.
[14] Orang bijaksana menimbunkan pengetahuan, tetapi mulut orang bodoh mendampingi kehancuran.
[15] Harta kekayaan ialah benteng bagi orang kaya, tetapi kepapaan adalah kehancuran bagi orang miskin.
[16] Hasil usaha orang benar membawa kepada kehidupan, tetapi dosa tuaian orang durjana membawa kepada penghukuman.
[17] Sesiapa yang memperhatikan didikan menuju jalan kehidupan, tetapi sesiapa yang menolak teguran bakal tersesat.
[18] Sesiapa yang menyembunyikan kebencian bermulut dusta, dan sesiapa yang menyebar fitnah tidak berakal.
[19] Apabila banyak bercakap, dosa pasti ada, tetapi orang bijaksana mengawal mulutnya.
[20] Lidah orang benar bagaikan perak pilihan, tetapi hati orang durjana tiada harganya.
[21] Bibir orang benar menggandakan belas ihsan, tetapi orang yang bodoh mati kerana kurang berakal.
[22] Berkat Tuhan mengayakan, dan Dia tidak menambahkan kesusahan kepadanya.
[23] Berbuat jahat bagaikan permainan orang bodoh, tetapi hikmah ialah kegemaran bagi orang yang berpengertian.
[24] Orang durjana akan ditimpa perkara yang ditakutinya, tetapi keinginan orang benar akan termakbul.
[25] Apabila angin puting beliung melanda akan tiada lagi orang durjana, tetapi orang benar akan kukuh selama-lamanya.
[26] Sebagaimana kesan cuka bagi gigi dan asap bagi mata, demikianlah si pemalas bagi orang yang mengutusnya.
[27] Takut kepada Tuhan memanjangkan usia, tetapi tahun-tahun orang durjana akan dipersingkat.
[28] Harapan orang benar akan menjadi sukacita, tetapi harapan orang durjana akan binasa.
[29] Jalan Tuhan adalah perlindungan bagi orang yang tulus, tetapi kehancuran bagi orang yang berbuat jahat.
[30] Orang benar tidak akan goyah untuk selama-lamanya, tetapi orang durjana tidak akan lama di bumi ini.
[31] Mulut orang benar mengucapkan hikmah, tetapi lidah yang suka mungkar akan dikerat.
[32] Bibir orang benar tahu apa yang menyenangkan, tetapi mulut orang durjana hanya tahu kata-kata mungkar.