Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:54

[1] Lebih baik sepotong roti kering dengan kesentosaan daripada jamuan makan serumah penuh dengan perbalahan.

[2] Hamba yang bijaksana akan menguasai si anak yang membuat malu, dan akan mendapat bahagian warisan sebagai salah seorang saudara anak itu.

[3] Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas, tetapi Tuhan menguji hati.

[4] Orang yang berbuat jahat mematuhi ucapan bibir yang jahat, dan si pembohong memasang telinga kepada lidah yang bertutur jahat.

[5] Siapa mengolok-olokkan orang miskin, mencela Penciptanya, dan sesiapa yang gembira kerana sesuatu bencana, tidak terlepas daripada hukuman.

[6] Anak cucu mahkota bagi kalangan tua-tua, dan kemuliaan anak-anak adalah leluhur mereka.

[7] Bicara yang indah tidak patut bagi orang yang betul bendul, apatah lagi bicara dusta bagi orang yang mulia.

[8] Kepada pemberinya, rasuah itu bagaikan permata yang indah, ke mana-mana pun dia berpaling, dia beruntung jua.

[9] Sesiapa yang menutupi pelanggaran orang mengejar kasih, tetapi orang yang mengungkit-ungkit sesuatu hal menceraikan sahabat yang karib.

[10] Kesan sebuah herdikan lebih mendalam bagi orang yang berpengertian melebihi seratus pukulan atas orang yang bebal.

[11] Orang yang jahat memberontak hanya mencari kedurjanaan, maka utusan yang bengis akan dikirim kepadanya.

[12] Lebih baik bertemu dengan beruang yang kehilangan anak, daripada bertemu dengan orang yang betul bendul dengan kebodohannya.

[13] Bagi sesiapa yang membalas kebaikan dengan kejahatan, kejahatan tidak akan meninggalkan rumahnya.

[14] Permulaan pertengkaran adalah seperti membuka aliran air, sebab itu berhentilah sebelum perbalahan meledak.

[15] Membebaskan orang yang mungkar dan menyalahkan orang warak, kedua-duanya adalah kekejian bagi Tuhan.

[16] Apa gunanya wang di tangan orang bodoh, kerana dia tidak berniat untuk mendapat hikmah?

[17] Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan seorang saudara lahir untuk masa menghadapi kesukaran.

[18] Orang yang tidak berakal budi membuat perjanjian menaja jamin, dan menjadi penjamin bagi jirannya.

[19] Orang yang menyukai pelanggaran suka juga kepada pertengkaran, dan orang yang meninggikan pintunya menempah kehancuran.

[20] Orang yang bengkok hatinya tidak akan mendapat kebajikan, dan orang yang lidahnya berdolak-dalik akan jatuh ke dalam bencana.

[21] Sesiapa yang mendapat anak yang bebal, mendapat duka, dan ayah kepada si tolol tidak akan bersukacita.

[22] Hati yang gembira adalah ubat yang baik, tetapi semangat yang patah mengeringkan tulang.

[23] Orang durjana menerima rasuah secara sembunyi-sembunyi untuk menyelewengkan jalan keadilan.

[24] Hikmah ada di hadapan orang yang berpengertian, tetapi mata orang bodoh melayang sampai ke hujung bumi.

[25] Anak yang bodoh mendukakan ayahnya, dan memahitkan hati ibu yang melahirkannya.

[26] Tidaklah baik menghukum orang benar, atau menyesah orang yang mulia kerana ketulusannya.

[27] Orang yang berpengetahuan mengawal kata-katanya, dan orang yang berpengertian tenang jiwanya.

[28] Orang bodoh pun disangka arif jika dia berdiam diri, dan disangka cerdas jika dia mengatupkan bibirnya.

Amsal — Chapters