Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:34

[1] Koyakkanlah kiranya langit lalu turun, sehingga gunung-gunung luluh di hadapan-Mu –

[2] seperti api menyalakan semak-semak dan seperti api mendidihkan air. Buatlah nama-Mu dikenal oleh lawan-lawan-Mu, sehingga bangsa-bangsa gementar di hadapan-Mu.

[3] Apabila Engkau melakukan hal-hal yang hebat, yang tidak kami sangka-sangka, Engkau turun, dan gunung-gunung luluh di hadapan-Mu.

[4] Sejak dahulukala belum pernah orang mendengar, belum pernah telinga menanggapi, belum pernah mata melihat satu Allah selain Engkau, yang bertindak bagi orang yang menanti-nantikan Dia.

[5] Engkau datang menolong orang yang suka melakukan yang benar, iaitu orang yang mengingati Engkau di jalan-jalan-Mu. Sesungguhnya, Engkau murka kerana kami berbuat dosa. Kami sudah lama sekali melakukannya, masakan kami dapat diselamatkan?

[6] Kami semua seperti orang bernajis, dan segala kebenaran kami seperti kain yang tercemar. Kami semua layu seperti daun, dan kesalahan-kesalahan kami menerbangkan kami seperti angin.

[7] Tidak ada yang menyeru nama-Mu, yang bangkit untuk berpaut pada-Mu, kerana Engkau menyembunyikan hadirat-Mu daripada kami, dan menyerakkan kami kerana kesalahan-kesalahan kami.

[8] Tetapi sekarang, ya Tuhan, Engkaulah Bapa bagi kami. Kamilah tanah liat dan Engkaulah tukang tembikar. Kami semua memang hasil buatan tangan-Mu.

[9] Janganlah murka sedemikian hebat, ya Tuhan, dan janganlah mengingati kesalahan kami untuk selama-lamanya. Oh, semoga pandanglah, kami semua ialah umat-Mu.

[10] Kota-kota-Mu yang suci telah menjadi gurun, Sion telah menjadi gurun, Yerusalem sunyi sepi.

[11] Bait kami yang suci dan mulia, tempat nenek moyang kami memuji-muji Engkau, telah dibakar habis. Semua milik kami yang berharga telah menjadi reruntuhan.

[12] Melihat semua ini, ya Tuhan, masakan Engkau menahan diri? Masakan Engkau berdiam diri dan mengazabkan kami sedemikian hebat?

Yesaya — Chapters