[1] Suatu tunas akan keluar daripada tunggul Isai suatu cabang daripada akarnya akan berbuah.
[2] Roh Tuhan akan diam padanya – roh kebijaksanaan dan pengertian, roh nasihat dan keperkasaan, roh pengetahuan dan takut kepada Tuhan –
[3] takut kepada Tuhan ialah kesukaannya. Dia tidak akan menghakimi menurut apa yang tampak di hadapan matanya, atau memutuskan perkara menurut apa yang didengar oleh telinganya,
[4] tetapi Dia akan menghakimi orang miskin dengan perbenaran, dan memutuskan perkara dengan keadilan bagi orang yang tertindas di bumi. Dia akan menghukum bumi dengan rotan daripada mulut-Nya, dan dengan nafas mulut-Nya Dia akan mematikan orang fasiq.
[5] Perbenaran adalah sabuk di pinggangnya dan kesetiaan adalah ikat pinggangnya.
[6] Serigala akan tinggal bersama-sama domba, harimau bintang akan berbaring dengan anak kambing. Anak lembu, anak singa, dan ternakan yang tambun akan tinggal bersama-sama, dan kesemuanya akan dipimpin oleh seorang anak kecil.
[7] Lembu betina dan beruang akan sama-sama meragut rumput, anak masing-masing akan berbaring bersama-sama, dan singa akan makan jerami seperti lembu.
[8] Anak yang masih menyusu akan bermain-main dekat lubang ular senduk, dan anak yang cerai susu akan menghulurkan tangannya ke dalam liang ular berbisa.
[9] Tidak ada yang akan berbuat jahat ataupun membinasakan di seluruh gunung-Ku yang suci, kerana bumi akan penuh dengan pengetahuan tentang Tuhan, seperti air meliputi laut.
[10] Pada waktu itu, Tunas Isai akan berdiri sebagai panji-panji bagi suku-suku bangsa. Dia akan dicari oleh bangsa-bangsa dan kediamannya akan menjadi mulia.
[11] Pada waktu itu, Tuhan akan menghulurkan tangan-Nya lagi untuk menebus saki-baki umat-Nya yang masih tertinggal, iaitu dari Asyur, dari Mesir, dari Patros, dari Kush, dari Elam, dari Sinear, dari Hamat, dan dari pulau-pulau di laut.
[12] Dia akan mengangkat panji-panji bagi bangsa dan akan menghimpunkan orang Israel yang terbuang. Dia akan mengumpulkan orang Yehuda yang tercerai-berai dari keempat-empat penjuru bumi.
[13] Dengki Efraim akan hilang, dan orang yang menyesakkan Yehuda akan dilenyapkan. Efraim tidak akan dengki terhadap Yehuda, dan Yehuda tidak akan menyesakkan Efraim.
[14] Sebaliknya, mereka akan terbang ke lereng gunung orang Filistin di sebelah barat, bersama-sama mereka akan menjarah bani Timur. Mereka akan menghulurkan tangan untuk mencengkam Edom dan Moab, dan bani Amon akan tunduk mematuhi mereka.
[15] Tuhan akan membinasakan sama sekali teluk laut Mesir; dengan angin-Nya yang panas, Dia akan mengayunkan tangan-Nya kepada Sungai Efrat dan memukulnya menjadi tujuh batang anak sungai, sehingga orang dapat menyeberanginya dengan berkasut.
[16] Maka akan ada jalan raya dari Asyur bagi saki-baki umat-Nya, sama seperti yang ada bagi Israel dahulu pada waktu mereka keluar dari Tanah Mesir.