[1] Wahai! Negeri dengingan sayap di seberang sungai-sungai Kush,
[2] yang mengirimkan duta-duta melalui laut di dalam perahu papirus di permukaan air. Pergilah, wahai para utusan yang tangkas, kepada bangsa yang tinggi dan licin kulitnya, kepada suku bangsa yang ditakuti di mana-mana, iaitu bangsa amat teguh lagi penakluk, yang negerinya terbahagi oleh sungai-sungai.
[3] Wahai seluruh penduduk dunia, wahai orang yang mendiami bumi, apabila panji-panji diangkat di atas gunung-gunung, kamu akan melihatnya, apabila sangkakala ditiup, kamu akan mendengarnya!
[4] Beginilah firman Tuhan kepadaku, "Aku akan memandang dengan tenang dari kediaman-Ku, seperti panasnya cahaya pada hari terang, seperti awan berembun pada panasnya musim menuai."
[5] Kerana sebelum musim menuai, apabila kuncup meluruh dan bunga berubah menjadi bakal buah anggur, Dia akan mengerat sulur-sulurnya dengan pisau pemangkas dan menyingkirkan carang-carangnya dengan memotongnya.
[6] Semua itu akan ditinggalkan bagi burung pemangsa dari pergunungan dan bagi binatang di bumi. Burung pemangsa akan memangsakannya selama musim panas, dan segala binatang di bumi memangsakannya selama musim dingin.
[7] Pada waktu itu persembahan akan dibawa kepada Tuhan alam semesta – daripada suku bangsa yang tinggi dan licin kulitnya, daripada suku bangsa yang ditakuti di mana-mana, iaitu bangsa amat teguh lagi penakluk, yang negerinya terbahagi oleh sungai-sungai – ke tempat bersemayam nama Tuhan alam semesta, iaitu Gunung Sion.