Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:37

[1] Pernyataan ilahi tentang Babel kepada Yesaya anak Amos.

[2] Angkatlah panji-panji di atas gunung yang gondol, berserulah dengan nyaring kepada mereka. Lambaikanlah tangan supaya mereka memasuki pintu gerbang para bangsawan.

[3] Aku telah memerintahkan kalangan yang Kusucikan, bahkan telah memanggil para kesateria-Ku untuk melaksanakan hukuman murka-Ku, iaitu mereka yang bersuka ria kerana kemegahan-Ku.

[4] Ada keriuhan di gunung-ganang, seperti suara orang ramai yang besar jumlahnya! Ada bunyi kekecohan daripada kerajaan-kerajaan, daripada bangsa-bangsa yang berkumpul! Tuhan alam semesta, sedang mengerahkan pasukan perang.

[5] Mereka datang dari negeri yang jauh, dari ufuk sana, iaitu Tuhan dengan senjata-senjata murka-Nya, hendak menghancurkan seluruh bumi.

[6] Meraung-raunglah, kerana hari Tuhan sudah dekat, hari pemusnahan yang datang daripada Yang Maha Kuasa.

[7] Oleh sebab itu semua tangan akan menjadi lemah dan hati setiap orang cair dan menjadi tawar.

[8] Mereka akan amat cemas, rasa perih dan sakit akan mencengkam mereka. Mereka akan menggeliat kesakitan seperti perempuan yang bersalin, mereka akan saling berpandangan dengan hairan, wajah mereka merah padam.

[9] Lihat, hari Tuhan datang dengan bengis, dengan amarah, dan dengan murka yang menyala-nyala, untuk menjadikan bumi sunyi dan untuk memusnahkan para pendosa dari dalamnya.

[10] Sesungguhnya, bintang-bintang di langit dan gugusan-gugusannya tidak lagi memancarkan sinarnya. Matahari akan menggelap sebaik sahaja terbitnya dan bulan pun tidak akan memancarkan sinarnya.

[11] Aku akan menghukum dunia kerana kejahatannya dan orang fasiq kerana kesalahannya. Aku akan menghentikan rasa bongkak kalangan yang angkuh dan meruntuhkan kesombongan orang kejam.

[12] Aku akan membuat orang lebih langka daripada emas murni, dan manusia daripada emas Ofir.

[13] Oleh sebab itu Aku akan menggetarkan langit, dan bumi akan bergoncang dari tempatnya kerana murka Tuhan alam semesta, pada hari amarah-Nya menyala-nyala.

[14] Seperti kijang yang diburu dan seperti domba yang tanpa gembalanya, setiap orang akan kembali kepada bangsanya, setiap orang akan melarikan diri ke negeri masing-masing.

[15] Sesiapa pun yang ditemukan akan ditikam, dan siapa pun yang tertangkap akan tewas oleh pedang.

[16] Bayi mereka akan dihempaskan di hadapan mata mereka. Rumah mereka akan dijarah dan isteri mereka akan dirogol.

[17] Lihat, Aku akan membangkitkan orang Madai untuk melawan mereka, orang yang tidak mengendahkan perak dan tidak menyukai emas.

[18] Busur panah mereka akan menghempaskan orang muda. Mereka tidak akan berbelas kasihan kepada buah kandungan, dan mereka tidak akan berasa hiba pada anak-anak.

[19] Babel, yang terindah antara kerajaan, kemegahan dan keangkuhan orang Kasdim, akan menjadi sama seperti Sodom dan Gomora apabila Allah menunggangbalikkannya.

[20] Negeri itu langsung tidak akan dihuni lagi dan tidak didiami turun-temurun. Orang Badui Arab tidak akan berkhemah di sana dan gembala tidak akan membaringkan domba-dombanya di sana.

[21] Sebaliknya, haiwan gurun akan berbaring di sana dan rumah mereka akan penuh dengan serigala. Burung-burung unta akan diam di sana dan kambing-kambing liar akan melompat-lompat di situ.

[22] Anjing hutan akan meraung di kota-kota yang terbengkalai dan serigala di istana-istana yang mewah. Waktunya hampir tiba dan umurnya tidak akan dilanjutkan.

Yesaya — Chapters